ADA musibah atau bencana menimpa masyarakat khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sena, Datin Marzita Mansor pastinya antara terawal tampil mendampingi dan mendengar rintihan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Datin Marzita Mansor, 54, atau lebih mesra disapa Kak Ta sentiasa menjadikan aspek kebajikan sebagai nadi perjuangan tanpa mengetepikan pembangunan asas lain.

Datin Marzita Mansor
Umur: 54 tahun
Pendidikan:
Sarjana Muda Pengurusan Sukan (Kepujian), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam
Jawatan Pernah / Sedang Disandang:
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis (2024 – kini)
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena (2022 – kini)
Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) (2016 – 2018)
Setiausaha Sulit kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad (2006 – 2008)
Setiausaha Akhbar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Radzi bin Sheikh Ahmad (2004 – 2006)
Pegawai Perhubungan, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (2000)
Guru, Sekolah Kebangsaan (SK) Oran, Perlis (1993 – 2000)
Biar pun pertama kali bergelar wakil rakyat, selepas menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atas tiket Perikatan Nasional (PN), Marzita tidak kekok menjalankan tugas dan turut diberi kepercayaan dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri.
Marzita sememangnya faham benar selok-belok keperluan rakyat serta kerja-kerja politik di lapangan apabila sebelum ini pernah memegang jawatan seperti Ahli Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Setiausaha Sulit kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Setiausaha Akhbar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Portfolio sebagai Exco yang diamanahkan kepada beliau turut menuntut Marzita untuk lebih kerap mendampingi rakyat bukan sahaja di DUN Sena malah seluruh negeri ini.

Ketika ramai penduduk terjejas ekoran banjir besar pada tahun lalu, beliau juga antara pemimpin terawal turun padang dan berkunjung ke pusat pemindahan sementara (PPS) menempatkan mangsa terlibat, sekali gus memastikan keperluan mereka dipenuhi.
Pengalaman beliau sebagai seorang bekas guru sedikit sebanyak turut mendorong Marzita untuk memberi keutamaan dalam aspek pendidikan khususnya buat anak-anak muda di negeri ini.
Marzita berkata, aspek kebajikan bukan sekadar menghulurkan bantuan tetapi memerlukan kehadiran pemimpin ketika rakyat memerlukan.
Katanya, ia penting bagi membolehkan wakil rakyat mendengar luahan dan memastikan mereka tidak keseorangan apabila kesusahan.
“Sebagai seorang ibu, Kak Ta (Marzita) juga memahami perasaan anak perantau yang terpaksa meninggalkan ibu bapa dan keluarga di kampung.
“Sudah tentu mereka rasa lebih tenang apabila tahu ibu bapa, keluarga dan insan tersayang sentiasa diberi perhatian oleh wakil rakyat.
“Sebab itulah kebajikan sentiasa menjadi keutamaan Kak Ta dan apabila turun padang, Kak Ta lihat sendiri pelbagai bentuk ujian dihadapi rakyat.
“Pengalaman ini jugalah yang menguatkan lagi tekad untuk Kak Ta sentiasa mendampingi mereka,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Marzita berkata, selain kebajikan, beliau turut memberi perhatian kepada aspek penyelenggaraan infrastruktur asas seperti jalan, longkang, sistem perparitan, lampu jalan dan kemudahan awam yang memberi kesan secara langsung kepada kehidupan harian penduduk.

Katanya, bidang pendidikan, pembangunan wanita, belia dan komuniti turut diperkasa melalui kerjasama pelbagai agensi kerajaan, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa
Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dan pertubuhan masyarakat.
“Bagi Kak Ta, sebagai seorang wakil rakyat bukan mewakili penyokong parti tertentu tapi memikul amanah besar bagi menjaga kebajikan dan kepentingan seluruh masyarakat di DUN Sena tanpa mengira fahaman politik, kaum mahu pun latar belakang,” katanya.
Marzita berkata, antara masalah utama dikenalpasti di DUN Sena adalah melibatkan isu kemiskinan dan peningkatan kos sara hidup yang memberi kesan kepada sebahagian keluarga.
Katanya, selain itu, terdapat juga keperluan bagi menaik taraf infrastruktur asas di beberapa kawasan termasuk melibatkan sistem perparitan, jalan raya dan kemudahan awam.
“Malah, dapat dilihat semakin ramai warga emas tinggal bersendirian atau memerlukan penjagaan rapi.
“Pendekatan lebih menyeluruh amat diperlukan bukan sahaja daripada pihak kerajaan tetapi juga melalui sokongan komuniti,” katanya.
Marzita berkata, perjalanan politiknya turut melalui beberapa fasa yang mana penglibatan awal bersama UMNO dengan pernah memegang jawatan Ketua Penaja Puteri UMNO Perlis.
Katanya, bakatnya dalam politik turut digilap oleh tokoh, Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad yang banyak membentuk pemikiran dan pendekatannya.
“Apabila diamanahkan sebagai ADUN Sena dan Exco kerajaan negeri, sudah tentu insan yang paling banyak membimbing Kak Ta adalah suami, Datuk Abdul Jamil Saad yang juga bekas ADUN Sena dan bekas Exco,” katanya.-UTUSAN










