Kucing Gemok Runner ‘sekolah’ Ironman - Utusan Malaysia

Kucing Gemok Runner ‘sekolah’ Ironman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUKAN berlari, berbasikal dan berenang adalah sesuatu yang cukup memenatkan tambahan jika ia dilakukan secara berterusan melibatkan jarak jauh seperti kejohanan Ironman, Triathlon atau Dualthon.

Bagaimanapun, sukan-sukan ekstrem seperti itu sema­kin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda di negara ini.

Bagi membantu mempersiapkan ‘bakal-bakal’ atlet seperti itu, kumpulan Kucing Gemok Runner (KGR) tampil memainkan peranan mereka dalam menjayakan sukan itu dalam kalangan ‘newbies’.

Bermula sebagai satu kumpulan yang menggalakkan ah­linya untuk menurunkan berat badan dengan mengamalkan aktiviti berlari, kini KGR melangkah lebih jauh setelah majoriti ahlinya kini terlibat dalam sukan triathlon dan duathlon.

KGR yang berpusat di Putrajaya kini mula menjadi tumpuan sebagai salah satu kumpulan yang bergerak secara sukarela dan sistematik dalam menggalakkan gaya hidup sihat selain mendapat sokongan penuh Persatuan Sukan Rekreasi Putrajaya.

Selain itu, KGR juga mula mengorak langkah dalam menarik minat remaja dan belia untuk melibatkan diri dengan sukan itu.

Bagi individu yang bertanggungjawab menggerakkan KGR, Abu Amar Darus pada awalnya kumpulan itu bergerak dalam kumpulan yang kecil dan menjadikan aktiviti sukan sebagai platform untuk bersosial.

“Sebenarnya kumpulan ini bukanlah satu kumpulan yang rasmi atau berdaftar sebaliknya hanya kumpulan yang menjadikan sukan sebagai medium untuk bersosial secara sihat.

“Pada peringkat awal, kami banyak menumpukan kepada latihan larian dan kami membantu mereka-mereka yang mempunyai masalah obesiti untuk menurunkan berat badan.

“Selepas beberapa tahun, semakin ramai yang menyertai program latihan kami yang diadakan setiap malam Selasa dan Khamis di sekitar Putrajaya dan bagi menyesuaikan keadaan, kami membahagikan program latihan kepada beberapa kumpulan mengikut kesesuaian peserta,” katanya.

Abu berkata, bagi mengelakkan kebosanan kerana melakukan rutin latihan yang sama, sesi latihan turut diselang-selikan dengan acara berbasikal dan juga berenang di luar Putrajaya dan juga menyertai pelbagai pertandingan.

“Disiplin berenang, berbasikal dan berlari ini merupakan disiplin wajib dalam acara triathlon yang semakin popular pada hari ni.

“Bagi menguji kemampuan dan ketahanan fizikal mahupun mental, sebahagian daripada kami aktif menyertai pelbagai pertandingan sama ada dalam mahupun luar negara termasuk Ironman Malaysia di Langkawi, Oktober ini,” katanya.

“Bukan kemenangan yang diburu, sebaliknya lebih kepada untuk menguji keupayaan diri sendiri di samping dapat merapatkan hubungan sesama kami dan juga dengan peserta lain,” katanya yang berpengalaman menyertai beberapa siri Ironman melibatkan disiplin berenang sejauh 3.8 kilometer, berbasikal 180km dan berlari 42km.

Bagi menyesuaikan diri dan meningkatkan keyakinan diri terutamanya bagi mereka yang pertama kali akan beraksi di Ironman di Langkawi pada 26 Oktober ini, KGR juga tidak ketinggalan untuk mengadakan simulasi latihan berenang di laut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×