SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) menyasarkan untuk mewujudkan kira-kira 50,000 peluang pekerjaan baharu di Negeri Sembilan menerusi pembangunan sektor industri yang akan diperkasakan sekiranya diberi mandat mentadbir negeri itu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran berkenaan dibuat berdasarkan potensi Negeri Sembilan yang mempunyai banyak kawasan perindustrian baharu selain kemasukan pelaburan langsung strategik.
Katanya, antara tumpuan utama dalam manifesto BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi adalah menyediakan peluang pekerjaan selain melonjakkan ekonomi negeri.
“BN turut berhasrat menjadikan Negeri Sembilan sebagai salah sebuah hab pengeluaran produk halal.
“Ia dapat wujudkan peluang pekerjaan untuk anak-anak muda Negeri Sembilan. Kira-kira 10,000 jawatan baharu setahun, lima tahun dapatlah 50,000,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Amanat Timbalan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Sembilan di Kampung Pantai di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, pengalaman ketika BN mentadbir Negeri Sembilan sebelum ini menunjukkan sektor industri mampu berkembang dengan pembangunan kawasan seperti Seremban, Nilai dan beberapa lokasi lain.
“Kita tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan pada 2018. Bukanlah tidak cukup usaha, tetapi insya-Allah kalau kita cukup kerusi, kita akan mempercepatkan kemajuan industri ini,” katanya.
Mengulas mengenai manifesto BN, Ahmad Zahid berkata, senarai komitmen yang akan ditawarkan kepada rakyat Negeri Sembilan bersifat realistik dan mampu dicapai.
“Saya tidak boleh buat soalan bocor dalam perkara ini (manifesto), dalam minggu ini juga manifesto BN akan dikeluarkan dan insya-Allah lebih baik daripada manifesto yang orang (Pakatan Harapan) dah keluarkan dulu,” katanya. – UTUSAN










