Keikhlasan Pas-UMNO dinilai di Kelantan - Utusan Malaysia

Keikhlasan Pas-UMNO dinilai di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 20 Sept. – Golongan muda di negeri ini berharap Piagam Muafakat Nasional yang ditandatangani pada 14 September lalu dapat diterjemahkan di negeri ini melalui kerjasama yang erat Pas – UMNO dalam pentadbiran kerajaan negeri ini.

Presiden Angkatan Generasi Melayu Muda Kelantan (Agenda) Muhammad Zaidan Abdul Rahim berkata, kerjasama itu amat penting bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap piagam yang ditandatangani itu.

Beliau berkata, pada masa kini, semua pihak menunggu langkah seterusnya yang bakal diambil oleh kedua-dua parti itu selepas persengkataan yang wujud sejak 60 tahun lalu telah diselesaikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Piagam ini rahmat besar untuk negara khususnya dalam keadaan kuasa politik Melayu dan Islam yang kritikal. Pemimpin telah menunjukkan sikap berjiwa besar mereka untuk duduk semeja.

“Kita sedar piagam ini masih baru dan sukar untuk merombak pentadbiran kerajaan negeri sedia ada tetapi mungkin ada peranan yang sesuai untuk pemimpin atau wakil-wakil rakyat UMNO dalam bersama-sama membangunkan negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah bahawa masih terlalu awal untuk membentuk kerajaan campuran Pas – UMNO di negeri-negeri pembangkang khususnya Kelantan biarpun Piagam Muafakat Nasional telah ditandatangani pada 14 September lalu.

Mohd. Amar yang juga Naib Presiden Pas dilaporkan berkata, piagam tersebut hanya untuk mengesahkan ‘ta’awun’ di antara kedua-dua parti itu namun bukan membentuk pakatan politik, ‘tahaluf’.

Bagaimanapun dalam sidang akhbar selepas majlis memeterai Piagam Muafakat Nasional UMNO Pas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur Sabtu lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memasukkan UMNO menjadi sebahagian pentadbiran kerajaan Terengganu dan Kelantan.

Muhammad Zaidan berkata, setiap tindakan yang dibuat oleh kerajaan negeri ini akan menjadi perhatian kerana Kelantan merupakan kubu Pas yang amat sukar ditembusi oleh mana-mana pihak.

“Jadi keputusan di negeri ini akan memberikan keyakinan kepada rakyat untuk terus menyokong Piagam Muafakat Nasional kerana rakyat sedang menilai keikhlasan kedua-dua parti ini dalam berdamai,” katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Persatuan Belia Sensasi, Nurul Najihah Yasim berkata, UMNO mungkin mempunyai idea untuk memperkemaskan lagi pentadbiran kerajaan negeri kerana mereka sudah lama menjadi sebahagian daripada Kerajaan Pusat.

“Terpulang kepada kerajaan negeri untuk terima atau tidak tetapi kalau hendak nampak lebih ‘comel’ perlu pertimbangkan UMNO untuk membantu kerajaan kerana buah fikiran pemimpin parti itu mungkin boleh diterima untuk menambah baik tadbir urus.

“Sejak dari dahulu UMNO kritik Kerajaan Pas Kelantan jadi mereka tahu kelemahan mana yang boleh diperbaiki bagi menjadikan Kelantan lebih baik. Mungkin ada kaedah tertentu boleh diwujudkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini