Jerebu: Majikan disaran benarkan pekerja jalan tugas dari rumah - Utusan Malaysia

Jerebu: Majikan disaran benarkan pekerja jalan tugas dari rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia menyarankan majikan supaya melaksanakan dasar kerja fleksibel dengan membenarkan pekerja menjalankan tugasan dari rumah masing-masing berikutan keadaan jerebu yang berterusan.

Kementerian itu menyatakan bahawa perkara itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet semalam, yang mana ia adalah tanggungjawab utama majikan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat bekerja.

“Adalah penting majikan untuk menjalankan penilaian risiko dan melaksanakan langkah-langkah yang sewajarnya termasuk menentukan keperluan untuk datang bekerja, bagi memastikan risiko yang dikenal pasti dapat dikurangkan,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Selain mematuhi Garis Panduan bagi Pengenalpastian Bahaya, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC), majikan juga digalakkan untuk melaksanakan dasar kerja fleksibel seperti membenarkan pekerja menjalankan tugasan dari rumah sekiranya keadaan menjadi lebih berbahaya kepada kesihatan dan mereka.

“Undang-undang perburuhan di Malaysia tidak melarang majikan daripada menentukan tempat pekerjaan selain daripada yang dinyatakan dalam kontrak pekerjaan seperti rumah pekerja, bergantung kepada keadaan tertentu seperti jerebu atau banjir, sebagai langkah sementara sehingga keadaan kembali selamat,” menurut kenyataan itu lagi. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×