LIVERPOOL – Penyerang Liverpool, Mohamed Salah mengakui hasratnya untuk beraksi di Liga Perdana England (EPL) sudah hadir lebih enam tahun lalu.
Salah berpindah ke Anfield tahun lalu dari AS Roma dan berjaya membuktikan dia merupakan salah seorang penggempur terbaik di dunia selepas meledak 44 gol untuk musim pertamanya di England.
Bagaimanapun, pemain skuad antarabangsa Mesir itu memberitahu, niatnya untuk beraksi di Liverpool telah hadir pada 2012 sebaik memulakan kariernya di Eropah bersama Basel.
“Keinginan ini mula hadir apabila saya berhijrah ke Basel dan dari situ saya telah menaruh harapan yang tinggi bahawa satu hari nanti pastinya impian untuk bermain di Liverpool akan tercapai.
“Saya mempunyai peluang sebelumnya, namun kedua-dua belah pihak tidak melakukan sebarang rundingan.
“Apabila Liverpool kembali berminat untuk mendapatkan khidmat saya semula tahun lalu, pastinya saya sangat teruja untuk ke Anfield, namun tetap memikirkan apakah rancangan pasukan akan lakukan ke atas saya. Kini semua boleh lihat di mana saya telah berada sekarang,” kata Salah.
Salah hanya mengambil masa yang singkat untuk mencipta nama di Liverpool musim lalu meskipun dia kini sedang bergelut selepas hanya menjaringkan tujuh gol daripada 14 perlawanan. – Agensi










