Empat ADUN tidak dibenar cabar Enakmen Antilompat Parti Pulau

Empat ADUN tidak dibenar cabar Enakmen Antilompat Parti Pulau Pinang

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang tidak dibenar oleh Mahkamah Persekutuan hari ini untuk mencabar keperlembagaan peruntukan di bawah Enakmen Antilompat Parti negeri itu.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan kebenaran yang dikemukakan oleh empat ADUN berkenaan tanpa membuat sebarang perintah terhadap kos.

Mereka ialah Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md. Lazim (Telok Bahang).

Zulkifli dan Afif dipecat daripada PKR pada 2020 yang kemudiannya menganggotai Bersatu manakala Khaliq dan Zolkifly adalah ahli Bersatu.

Dalam keputusannya, Hakim Tengku Maimun berkata, Mahkamah Persekutan dalam prosiding rujukan pada 3 Ogos lalu sudah memutuskan bahawa DUN Pulau Pinang berhak menggubal undang-undang untuk menentukan kelayakan ahlinya yang membentuk sebahagian daripada fungsi demokrasi berparlimen.

Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan ketika itu memutuskan bahawa peruntukan di bawah Enakmen Antilompat Parti Pulau Pinang, sah dan berperlembagaan.

Keputusan Ogos lalu menyatakan, keupayaan seorang ADUN menukar keahlian parti politik atas apa jua alasan, tidak termasuk dalam hak peribadi seorang warganegara untuk berpersatuan sebagaimana yang dibayangkan dalam Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Tengku Maimun yang turut mempengerusikan panel terdahulu berkata, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c).

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

Mahkamah ketika itu berpendapat, syarat kelayakan bagi keahlian DUN adalah perkara yang berkaitan dengan demokrasi berparlimen dan tidak melibatkan hak peribadi individu yang dipilih sebagai wakil rakyat atau pilihan untuk berpersatuan dengan parti politik tertentu atau pihak di bawah Perkara 10(1)(c).

Keempat-empat ADUN itu sebelum ini memfailkan saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Yang Dipertuanya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 supaya mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.

Mereka turut memfailkan injunksi terhadap badan perundangan Pulau Pinang daripada meluluskan usul pengosongan kerusi masing-masing selepas mengambil keputusan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Panel bersidang pada 3 Ogos lalu turut mengarahkan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang meneruskan perbicaraan kes tersebut selaras dengan penghakiman hari ini atau mengikut lunas undang-undang.

Terdahulu, peguam Datuk DP Naban yang mewakili semua ADUN berkenaan berhujah, DUN Pulau Pinang tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang antilompat parti dan ia melanggar kuasa berkaitan pemilihan dewan atau Ahli Parlimen.

Bagaimanapun, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kerajaan negeri berhujah, DUN Pulau Pinang mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan antilompat parti di bawah perlembagaan negeri.

Pada 12 April lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membenarkan permohonan DUN Pulau Pinang dan Speakernya, Datuk Law Choo Kiang untuk merujuk beberapa persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan berhubung isu perlembagaan berkaitan enakmen antilompat parti negeri itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizan Md. Arshad membenarkan permohonan rujukan itu yang dikemukakan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 selepas berpuas hati permohonan itu memenuhi syarat di bawah sekyen berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya