KUALA LUMPUR 25 Sept. – Perubahan bulanan Indeks Pelopor (IP) melonjak 1.4 peratus pada Julai 2019 kepada 119.3 mata daripada 117.6 mata yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pemacu utama peningkatan IP itu adalah Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan (0.9 peratus); Bilangan Syarikat Baharu Didaftar (0.4 peratus) dan Penawaran Wang Benar, M1 (0.3 peratus).
Beliau berkata demikian dalam kenyataan Penunjuk Ekonomi Malaysia : Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan Bagi Julai 2019 yang dikeluarkan oleh jabatan berkenaan, hari ini.
Berita berkaitan:
Indeks-indeks tersebut memberi isyarat awal prestasi ekonomi dalam tempoh terdekat, kata beliau.
“IP memberi isyarat arah pergerakan ekonomi akan memasuki fasa pengembangan pada November 2019 sehingga Januari 2020,” katanya.
Mohd. Uzir berkata, trend yang sama ditunjukkan oleh perubahan tahunan IP yang kembali kepada pertumbuhan positif 0.4 peratus pada Julai 2019 selepas mengalami pertumbuhan negatif selama dua bulan berturut-turut.
Beliau berkata Indeks Serentak (IS) pula meningkat 0.9 peratus pada bulan rujukan dengan Kapasiti Penggunaan di sektor Pembuatan (0.4%) sebagai penyumbang utama.
IS yang mencerminkan prestasi ekonomi semasa, mencatatkan pertumbuhan tahunan 1.8 peratus pada Julai 2019. – BERNAMA











