KUALA LUMPUR 24 Sept. – Penyedia penyelesaian hartanah perindustrian bersepadu, AME Elite Consortium Bhd (AME Elite) menyasar meraih RM166.6 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang dijadualkan pada 14 Oktober ini.
Dalam kenyataan hari ini, ia berkata RM111.1 juta itu akan digunakan untuk mengembangkan perniagaan, manakala RM55.5 juta bagi penjualan pemegang saham menerusi tawaran jualan.
Menurut prospektus syarikat itu, IPO berkenaan merangkumi terbitan awam 85.4 juta saham baharu pada harga RM1.30 sesaham, selain tawaran jualan 42.7 juta saham sedia ada kepada institusi dan pelabur terpilih.
Daripada 85.4 juta saham, 8.5 juta akan diperuntukkan kepada rakyat Malaysia dan 8.5 juta lagi kepada pengarah-pengarah dan kakitangan yang layak.
Selain itu, 19.2 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur dan institusi terpilih dan 49.1 juta saham kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Pengarah Urusan Kumpulan, Kelvin Lee Chai berkata, kebanyakan saham yang diraih daripada IPO tersebut akan disalurkan kepada projek pelaburan dan pembangunan hartanah perindustrian pada masa akan datang, termasuk pengambilalihan simpanan tanah dan potensi usaha sama.
“Selain mengembangkan taman perindustrian AME Elite ke negeri lain di Semenanjung, kita juga akan memberi tumpuan menyiapkan projek taman perindustrian yang sedang dijalankan dan meningkatkan portfolio hartanah perindustrian di Johor,” katanya.
Permohonan bagi IPO AME Elite boleh dihantar mulai hari ini sehingga 30 September 2019. – BERNAMA










