KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki No. 1 tanah air, Lee Zii Jia meneruskan kemaraan ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Thailand selepas menewaskan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito 11-21, 21-14, 21-13 pada peringkat suku akhir semalam.
Pada aksi di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok itu, Zii Jia terlebih dahulu dikejutkan oleh pemain No. 34 dunia berkenaan apabila tewas mudah 11-21, sebelum bangkit pada dua set berikutnya.
Justeru, Zii Jia tanpa berselindung mengakui gembira dengan keputusan tersebut lebih-lebih lagi berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir buat kali pertama musim ini selepas enam kali terkandas di peringkat suku akhir.
“Layak ke separuh akhir Terbuka Thailand merupakan satu kejayaan buat saya selepas enam kali tewas di peringkat suku akhir sebelum ini. Sebelum perlawanan, saya katakan pada diri sendiri bahawa ia merupakan aksi wajib menang dan hapuskan badi suku akhir.
“Walaupun tewas pada set pertama, namun tuah menyebelahi saya apabila berjaya memenangi dua set seterusnya sekali gus mara ke separuh akhir. Bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu meraikannya kerana perlawanan esok (hari ini) pasti lebih sukar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tambah pemain yang berada di ranking ke-15 dunia itu, tidak kira siapa yang akan ditemuinya pada peringkat separuh akhir hari ini, dia sedia menampilkan aksi sama untuk mara ke pentas akhir nanti.
Sementara itu, langkah perseorangan wanita negara, Soniia Cheah tersekat di peringkat suku akhir apabila tewas 15-21, 8-21 kepada pemain No. 4 dunia yang juga pilihan utama dari China, Chen Yufei.
Hasrat beregu lelaki profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong untuk mengiringi langkah Zii Jia ke separuh akhir juga tidak terlaksana apabila pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu kalah 16-21, 19-21 kepada wakil China, Li Jun Hui-Liu Yu Chen.











