Warga emas ditemui di kuari selepas hilang 27 jam - Utusan Malaysia

Warga emas ditemui di kuari selepas hilang 27 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR – Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selama 27 jam ditemui di sebuah kuari di Jeram di sini, malam tadi.

Othman Mohd. Isa, 67, ditemukan pekerja kuari kira-kira pukul 10.30 malam sebelum dihantar ke Balai Polis Jeram selepas dilaporkan hilang pukul 7.30 petang kelmarin.

Anak mangsa, Ezeanty Othman, 34, berkata, bapanya berada dalam keadaan baik namun letih kerana dipercayai hanya berjalan kaki sepanjang tempoh kehilangannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, jarak antara lokasi ditemui dengan dilaporkan hilang dari rumahnya di Jalan Khailani Batu 17 Sungai Sembilang di sini adalah kira-kira 20 kilometer.

“Saya bersyukur ayah ditemui dalam keadaan selamat dan tiada sebarang perkara buruk berlaku padanya.

“Ayah menghidap penyakit Dementia atau nyanyuk selain penyakit darah tinggi dan kencing manis serta pernah diserang sakit jantung sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menceritakan detik kehilangan ayahnya, Ezeanty memberitahu, dia menyedarinya pukul 7.30 petang kelmarin selepas ayahnya dipercayai keluar daripada rumah berseorangan.

Jelas anak bongsu dari lima beradik itu, usaha mencari ayahnya sehingga ke kawasan Jeram dan Kapar menemui jalan buntu sebelum membuat laporan polis pukul 6.30 petang semalam di Balai Polis Kuala Selangor. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini