Tulisan Jawi:Kerajaan perlu ada dasar jelas - Utusan Malaysia

Tulisan Jawi:Kerajaan perlu ada dasar jelas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Kerajaan Persekutuan perlu mempunyai dasar yang jelas berhubung penggunaan bahasa pada papan tanda, iklan dan poster yang dipamerkan di negara ini.

SITI ZAILAH MOHD. YUSOFF

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, penggunaan bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu mestilah diutamakan kerana bahasa tersebut merupakan bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, katanya, adalah tidak menjadi kesalahan untuk menggunakan bahasa Cina atau Inggeris kerana bahasa berkenaan merupakan bahasa perantaraan bagi menarik pelancong.

“Pun begitu, bahasa Melayu mesti diutamakan terlebih dahulu kerana bahasa ini merupakan bahasa kebangsaan yang sepatutnya digunakan dalam semua perkara termasuk tulisan pada poster dan papan iklan.

“Sama seperti Negeri Kelantan, mana-mana papan iklan telah disyaratkan perlu ada tulisan jawi dengan tulisan lain kerana tulisan ini telah dijadikan satu identiti oleh kerajaan negeri,” katanya yang dipetik menerusi laporan Harakahdaily di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Kementerian Pendidikan yang bertegas untuk meneruskan pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dan seni khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat pada 2020.

Menurut kementerian itu, tulisan khat merupakan warisan bahasa Melayu yang penting untuk dipelajari, sejajar dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan.

Dalam pada itu, Siti Zailah berkata, Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu mengeluarkan satu garis panduan tentang penggunaan bahasa kebangsaan pada setiap papan iklan mesti dijadikan bahasa utama berbanding bahasa lain.

“Ia sebagai mempamerkan identiti sesebuah negara yang menjadikan bahasa Malaysia, bahasa rasmi dalam penggunaan oleh kerajaan Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini