Tips tanam cili - Utusan Malaysia

Tips tanam cili

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cili ialah sejenis sayuran berbuah yang popular dalam kalangan penduduk Malaysia. Dipercayai berasal dari Mexico dan Amerika Selatan dan diperkenalkan di Asia Tenggara sejak kurun ke-16, ia ditanam di banyak negara beriklim tropika.

CILI adalah sayuran popular dalam kalangan penduduk Malaysia.

Cili juga dikenali sebagai lada, cabai banyak ditanam di kawasan tanah rendah. Ia sejenis tanaman semusim dan ketinggian antara 0.5 hingga satu meter, batangnya lurus kira-kira satu (sm) diameter, berkayu lembut dan bercabang banyak bagi membentuk silara yang rimbun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bunga berwarna putih,buah semasa muda berwarna hijau dan beransur merah bila masak.

Sebenarnya rasa pedas cili akan merangsang selera,merangsang enzim pencernaan dan perpeluhan. Pucuk muda sebagai penyedap rasa masakan tradisional seperti sistem asam pedas dan kuih.

Cili muda dibuat jeruk dan ulaman ,ia juga mengurangkan sakit sendi tulang, demam, ulser mulut, demam. Cili mempunyai khasiat makanan yang tinggi terutama vitamin A dan vitamin C

PEMBIAKAN DAN PENANAMAN

Biji benih cili perlu disemai terlebih dahulu sebelum melakukan penanaman, kerana ia memerlukan penjagaan yang rapi di peringkat awal pertumbuhan.

Semai biji benih dalam dulang penyemaian, gunakan ‘peat grow’ sebagai media percambahan atau campuran kompos dan ‘peat grow’,letak biji benih setiap sel dan diletak di rumah semaian yang mempunyai sekurang-kurangnya 50 peratus lindungan antara empat hingga lima minggu, disiram setiap hari. Anak semaian boleh disembur dengan baja foliar setiap minggu bagi menambah kesuburan dan pembesaran pokok

PH yang sesuai ialah antara 5.5-6.5,nilai PH yang rendah akan menyebabkan pertumbuhan cili terencat

Kawasan penanaman disediakan dengan membajak dan menggembur dua minggu sebelum penanaman dilakukan. Batas dibuat dengan ukuran satu meter lebar dan panjang batas mengikut kesesuaian kawasan.

Batas ditambak dengan bahan tahi ayam atau kompos dengan kadar satu hingga tiga kg semeter persegi dan ditutup dengan ‘Agrosheet’ atau jerami kering sebagai sungkupan

Sungkupan perlu bagi memudahkan penyelenggaraan tanaman,mengekalkan kelembapan dan mengurangkan hakisan

Jarak tanaman yang disyorkan ialah antara 50 hingga 60 sm antara pokok dan antara 60 hingga 100 sm antara barisan,tanaman boleh ditanam satu atau dua baris setiap batas

Anak benih dipindahkan keladang bila berumur antara tiga hingga empat minggu dan telah ada empat hingga lima helai daun sebenar. Sebelum pemindahan lakukan proses pengerasan di buat dengan mendedahkan kepada cahaya matahari secara beransur ansur.

PENYULAMAN/PENYEDIAAN SOKONGAN

Setelah seminggu penanaman ,anak benih yang mati atau kurang sihat perlu disulam dengan yang baru. Kayu sokongan dipancang pada pokok bagi mengelakkan ia tumbang bila cili telah mengeluarkan hasil.

PENGAIRAN

Pengairan amat perlu pada peringkat awal penanaman sehingga penuaian hasil dilakukan,tanaman perlu disiram sekurang-kurangnya sehari sekali,kaedah pengairan secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis atau titis.

Bagi kawasan yang menghadapi masalah saliran, peparitan perlu dilakukan bagi menyalirkan air yang berlebihan ke parit utama.

PENGAWALAN RUMPAI

Bagi memastikan tanaman hidup subur, kawalan rumpai perlu dilakukan. Rumpai di atas batas dibuang secara manual dan antara lorong tanaman rumpai boleh dikawal dengan menggunakan racun rumpai yang disyorkan. Pastikan semasa penyemburan racun ia tidak mengenai tanaman.

PEMBAJAAN

Baja yang disyorkan ialah 70 kg N:140 kg P2O5:200 kg K2O setiap hektar, tetapi ia bergantung pada keadaan tanah disesuatu kawasan. Penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 untuk pembajaan pertama boleh di gunakan dengan kadar 30gm/pokok dan ditabur keliling dengan jarak 15-20 sm dari rumpun pokok serta dikambus.

Pembajaan ulangan kedua dan ketiga boleh menggunakan NPK biru 12:12:7 dengan kadar 40-50 gm/pokok diselangkan setiap dua minggu.

PEMANGKASAN

Pemangkasan tidak perlu dilakukan kecuali jika terdapat cabang sisi yang berlebihan,atau terdapat serangan penyakit atau perosak.

KAWALAN PEROSAK

Pendekatan yang paling sesuai dalam pengurusan perosak ialah secara kawalan bersepadu iaitu secara manual,amalan kultura,mekanikal atau kawalan secara kimia, dan ia adalah sebagai pilihan terakhir

Serangga yang biasa menyerang pokok cili ialah kutu daun, kutu trip, ulat pengorek buah, lalat buah, hamama, ulat ratus dan lalat putih.

Penyakit yang biasa menyerang cili ialah antraknos buah, bintik daun, hawar pucuk, reput pangkal, lecuh anak benih, layu dan mozek daun.

Pastikan daun dan buah yang rosak diserang penyakit di cantas dan di musnahkan. Pembajaan dibuat mengikut jadual supaya pokok boleh membina daya tahan dari serangan penyakit dan perosak. Kebersihan kawasan perlu dipastikan supaya tiada perosak yang bersembunyi

PENUAIAN HASIL

Cili mula berbunga antara 60 hingga 75 hari selepas ditanam di ladang,buah akan masak 30-35 hari selepas berbunga. Buah yang masak berwarna merah dan dituai 3-4 hari sekali.

Tempoh pengeluaran hasil antara 2-3 bulan selepas penuaian hasil pertama,jumlah hasil bergantung kepada variasi cili.

PENGENDALIAN LEPAS TUAI

Selepas memetik hasil, operasi diteruskan dengan pemilihan, pembersihan, penggredan dan pembungkusan. Penggredan dibuat berdasarkan warna, kesegaran, tahap kecederaan dan serangan penyakit dan perosak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini