Tiada permit - Utusan Malaysia

Tiada permit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Ogos- Polis tidak menerima sebarang notis permohonan untuk mengadakan himpunan bagi membantah tulisan Jawi dan seni khat dalam buku teks Bahasa Melayu yang didakwa akan berlangsung di Ibu pejabat Dong Jiao Zong di Kajang dekat sini, Isnin ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Sabri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

“Sehingga kini, kita tidak menerima sebarang permohonan bagi mengadakan himpunan itu,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau mengulas laporan media tentang pertubuhan pendesak, Dong Zong dan Jiao Zong yang didakwa akan menganjurkan perhimpunan bagi membantah penambahan seni khat Jawi dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah vernakular yang dirancang dilaksanakan mulai tahun depan.

Dalam pada itu, Sabri berkata, hasil semakan mendapati lokasi yang didakwa itu bukan untuk berhimpun sebaliknya tempat untuk bermesyuarat.

Dalam perkembangan sama, Dong Jiao Zong dilaporkan menafikan akan menganjurkan perhimpunan tersebut sebaliknya akan ada satu mesyuarat dalaman melibatkan beberapa pertubuhan pelbagai kaum bagi membincangkan isu penambahan seni khat dalam subjek Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

“Pihak Dong Jiao Zong ingin menjelaskan tiada perhimpunan akan diadakan.

“Mesyuarat dalaman ini semata-mata menumpukan pengupasan dan analisis tentang inisiatif kementerian ini melalui aspek pedologi pendidikan, keberkesanan pembelajaran dan realiti serta fungsi pragmatik seni khat Jawi dalam peningkatan penguasaan dan pengetahuan bahasa Melayu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Kementerian Pendidikan mempertahankan rancangan untuk memperkenalkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4, tahun depan meskipun berdepan bantahan daripada pertubuhan pendidikan Cina.

Kenyataan itu menambah, kedua-dua pertubuhan berkenaan tidak membantah usaha kerajaan melaksanakan interaksi kebudayaan antara pelbagai kaum dan nilai murni kepelbagaian dan integrasi, sebaliknya mempersoalkan kaedah yang digunakan pihak kementerian.

“Oleh itu, mesyuarat ini juga akan membincangkan dan meneliti kenyataan akhbar Kementerian Pendidikan yang dikeluarkan semalam mengenai perkara itu.

“Namun bukanlah melalui kaedah yang menyebabkan kesangsian, was-was dan rasa kurang menyenangkan. Malah (keputusan itu dibuat) tanpa berbincang secara terperinci dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan pendidikan dan masyarakat,” jelas kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini