KUALA LUMPUR 3 Ogos – Kecoh dalam media sosial apabila drama Demi Tuhan Aku Bersaksi dikatakan seolah-olah menyindir pusat tahfiz.
Drama yang bakal disiarkan di saluran TV1 (RTM) ini mengisahkan isu persemburitan yang berlaku di institusi pendidikan al-Quran atau lebih dikenali sebagai sekolah tahfiz.
Isu drama ini terus menjadi tular apabila warga maya menganggap mesej yang cuba disampaikan memperlihatkan sisi negatif pusat tahfiz yang semakin berkembang di negara kita.
“Drama ini sarat dengan mesej yang bagus dan memberitahu kepada masyarakat isu realiti memang berlaku dalam masyarakat kita.

“Sebenarnya ia terpulang kepada individu yang akan menonton drama ini. Kalau mereka memandang mesej yang disampaikan secara positif, maka ia menjadi pengajaran.
“Andai kata sebaliknya berlaku, rugilah mereka kerana mesej yang berguna dianggap negatif,” jelas Pegawai Pehubungan Media RTM, Nurhaninah Ayub yang menepis sama sekali tuduhan menyindir pusat tahfiz.
Nurhaninah menambah, pihaknya tiada niat untuk memaparkan sisi negatif mana-mana pusat tahfiz dalam negara kita. Situasi yang ditonjolkan hanyalah sekadar jalan cerita.
“Tidak dinafikan, boleh saja menggunakan situasi lain sebagai contoh tempat isu ini berlaku, tetapi saya percaya penerbit mahukan sesuatu kelainan yang boleh menarik masyarakat untuk menonton.
“Mungkin kalau ditonjolkan isu hubungan songsang berlaku di pejabat atau lokasi lain, ia kurang memberi kesan mendalam kepada masyarakat,” ujarnya.
Beliau percaya, masyarakat sukar untuk menerima sesuatu mesej melalui kempen atau ceramah, tetapi ia lebih berkesan apabila disampaikan melalui drama.
“Lagi pun, sebelum penggambaran dijalankan, RTM sendiri sudah membuat penilaian terlebih dahulu sama ada naskhah drama yang bakal disiarkan sesuai atau tidak.
“Ini juga membuktikan kami menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat untuk membawa mesej yang positif melalui siaran drama,” katanya lagi yang berharap masyarakat menonton drama ini sebelum membuat penilaian.
Drama Demi Tuhan Aku Bersaksi terbitan Prokuya Studios ini membariskan pelakon seperti Syafie Naswip sebagai teraju utama, Fezrul Khan, Ismail Yaacob, Taiyuddin Bakar, Sheila Mambo, Arman Graseka dan ramai lagi. – UTUSAN ONLINE











