KUALA LUMPUR – Sekalipun diberi ‘lampu hijau’ oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), namun tempat Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi dalam skuad Harimau Malaya belum terjamin.
Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi menegaskan, kedudukan kedua-dua pemain itu – sama ada layak atau tidak bermain buat negara bergantung kepada tahap kecergasan dan prestasi terkini mereka ketika proses terakhir untuk mendapatkan kerakyatan dilakukan.
Yusoff berkata, biarpun proses dokumentasi sudah dihantar kepada KDN, namun De Paula dan Liridon atau lebih dikenali sebagai Mat Don masih perlu bekerja keras untuk membuktikan mereka benar-benar berbaloi diberikan kerakyatan Malaysia.
“Kalau kita tidak proses sekarang selepas itu hujung tahun ini jurulatih Harimau Malaya (Tan Cheng Hoe) tengok mereka berdua boleh bermain dan masa itu juga baru kita nak hantar dokumentasi, ia akan makan masa berbulan nak lulus. Kita tak boleh pakai mereka untuk tahun depan.
“Jadi, kita mohon kerakyatan untuk mereka terlebih dahulu sebab prosesnya mengambil masa lama tetapi akhirnya kita akan tengok kemampuan mereka. Kalau KDN lulus tetapi tahap kecergasan mereka tidak di tahap terbaik, FAM sendiri tidak akan benarkan.
“Buat apa kita nak bagi kerakyatan tetapi akhirnya tidak boleh menggunakan mereka,” kata Yusoff kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan FAM membuat permohonan kepada KDN untuk memberi kerakyatan kepada De Paula dan Liridon, selain dua pemain berdarah kacukan Malaysia iaitu Kobe Chong dan Armin Maier.
Ditanya mengapa De Paula dan Liridon menjadi pilihan sedangkan usia mereka bukan lagi muda, malah Liridon ketika ini tidak mempunyai pasukan, Yusoff menegaskan, keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Teknikal.
“Buat masa sekarang untuk pemain naturalisasi, hanya dua nama ini melepasi syarat lima tahun sebab pilihan tidak ramai. Bukan kami tangkap muat sebab bukan saya atau presiden buat pilihan tetapi Jawatankuasa Teknikal yang bagi lampu hijau.
“Kami bagi nama kepada Jawatankuasa Teknikal dan mereka buat keputusan. Macam De Paula umur dia 33 tahun jadi kita boleh guna dia untuk tiga atau empat tahun lagi manakala Liridon masih muda baru 27 tahun.
“Macam saya katakan, FAM akan menilai tahap kecergasan semasa kedua-dua pemain sebelum memberi kerakyatan,” kata Yusoff juga yang juga Timbalan Presiden FAM.
Khidmat kedua-dua pemain import dari Brazil (De Paula) dan Kosovo itu ditagih Harimau Malaya bagi menghadapi pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan bermula pada 5 September 2019 hingga 9 Jun 2020. – UTUSAN











