BANDAR ENSTEK 1 Ogos – Pembeli rumah yang mengidamkan kediaman serba moden dan eksklusif boleh mendapatkan unit idaman mereka menerusi pelancaran rumah contoh Pristine di Karnival Jualan Perumahan Bandar Enstek, anjuran TH Properties Sdn. Bhd. baru-baru ini.
Unit Komunikasi Korporat TH Properties Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan berkata, karnival dua hari di Bandar Enstek, Negeri Sembilan itu memberi peluang kepada bakal pembeli melihat sendiri rumah contoh teres dua tingkat dengan empat bilik tidur yang dibahagikan kepada tiga jenis susun atur dan saiz binaan.
Katanya, menggabungkan landskap berilhamkan alam semula jadi dan reka bentuk seni bina kontemporari, Pristine 2 yang direka sebagai pembangunan berkawal dan berpagar sememangnya sesuai untuk keluarga yang mengidamkan kediaman jauh daripada hiruk-pikuk kehidupan kota.
“Terletak di atas tanah hak milik kekal, Pristine 2 meliputi 48 unit kediaman yang ditawarkan pada harga menarik antara RM483,100 hingga RM667,800.
“Pristine 2 dilancarkan pada Julai 2018 dengan nilai jualan keseluruhan RM22.67 juta dan dijangka siap menjelang Julai 2020.
“Kediaman jenis A 20 meter x 77 meter mempunyai keluasan binaan 1,584 dan 1,609 kaki persegi manakala rumah jenis B 20 meter x 80 meter mempunyai kawasan binaan 1,662 dan 1,722 kaki persegi.
“Unit jenis C iaitu 20 meter x 100 meter pula menawarkan kawasan binaan seluas 1,774 kaki persegi dan 1,833 kaki persegi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Pengurus Besar Enstek Development Bandar Enstek, TH Properties, Emran Ismail dalam ucapan ketika merasmikan karnival itu berkata, pembangunan terbaharu tersebut menepati cogan kata kumpulan ‘Building Beyond Buildings’.
“Projek ini bukan sahaja menyediakan penyelesaian inovatif dalam usaha memenuhi keperluan kumpulan pembeli rumah yang pelbagai tetapi juga menambah baik pengalaman pelanggan untuk membina hubungan jangka panjang yang berkekalan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











