IPOH 3 Ogos – ADUN Keranji, Chong Zhemin menegaskan tindakannya menarik balik bantahan terhadap cadangan memperkenalkan tulisan khat dan Jawi bukan atas desakan mana-mana pihak.
Menurutnya, beliau bertindak demikian kerana mahu memberikan ruang kepada Kementerian Pendidikan untuk membuat keputusan mengenai perkara itu.
“Tak ada tekanan (tarik balik bantahan). Kita bagi ruang dan masa Kementerian Pendidikan untuk membuat keputusan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Zhemin ditanya mengenai tindakan beliau dan ADUN Jelapang, Cheah Pou Hian yang menarik balik bantahan mereka terhadap rancangan memperkenalkan pembelajaran khat dalam kurikulum Tahun 4 Bahasa Malaysia untuk sekolah vernakular.
Mereka yang merupakan ADUN DAP sebelum ini menjadi sebahagian daripada 13 DUN, 14 pemimpin akar umbi dan pemuda DAP serta 138 cawangan dan jawatankuasa parti di peringkat Parlimen yang menentang langkah itu.
Keputusan Zhemin dan Pou Hian itu dibuat menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan kedua-dua mereka semalam. – UTUSAN ONLINE











