Syed Razlan tuntut penjelasan - Utusan Malaysia

Syed Razlan tuntut penjelasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail kesal apabila tidak diberikan sebarang alasan berhubung tempoh perkhidmatannya dipendekkan menerusi sepucuk surat yang ditandatangani Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Jelas Syed Razlan, beliau boleh menerima keputusan penamatan kontraknya namun perlulah disertakan dengan alasan kukuh lebih-lebih lagi ia melibatkan satu jawatan tinggi dalam pengurusan sebuah universiti.

“Saya ini lebih tua daripada dia dan percaya lebih matang lagi daripada segi kehidupan dan politik daripada dia, jadi elok kalau mahu dipendekkan tempoh tambah lagi bagi jawatan yang begitu tinggi dan dihormati dalam bidang pendidikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Eloklah saya dipanggil dan diberi peluang untuk penjelasan, kalau begitu saya boleh terima kalau saya salah.

“Saya difahamkan kononnya mahu pertingkatkan governan dalam universiti, jika begitu buatlah cara governan. Kalau mahu lebih autonomi diberikan kepada universiti awam, jangan masuk campur tangan, lembaga pengarah universiti bukan seorang, ia mengandungi ramai individu yang mempunyai pelbagai latar belakang, kepakaran dan pengalaman, mereka ini lebih bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Media hari ini melaporkan Syed Razlan ditamatkan perkhidmatannya, tidak sampai setahun selepas dilantik atas sebab yang tidak dijelaskan oleh Maszlee.

Pemecatan Syed Razlan dimaklumkan kepada beliau melalui sepucuk surat bertarikh 17 Julai lalu yang ditandatangani oleh Maszlee.

Surat berkenaan tidak menyatakan sebarang alasan sebaliknya hanya menyebut kontrak pelantikan Syed Razlan berkuat kuasa sehingga 16 Ogos ini iaitu 30 hari daripada tarikh surat.

Syed Razlan akan diganti oleh bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Tan Sri Ghauth Jasmon berkuat kuasa 19 Ogos ini.

Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Arau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh itu menjelaskan, beliau tidak menolak keputusan penamatan khidmatnya ada kaitan dengan siasatan yang sedang dijalankannya berhubung salah laku melibatkan pengurusan tertinggi di UPM.

“Saya dapat arahan daripada pihak kementerian sendiri iaitu Jabatan Pendidikan Bahagian Governan untuk membuat siasatan atas tiga pegawai tertinggi UPM berkaitan salah guna kuasa. Jadi bila saya diminta untuk menyiasat, perlukah saya buat tak tahu sahaja, jika tidak nanti orang kata saya tidak buat kerja.

“Tadbir urus universiti ini sepatutnya dijalankan oleh pihak pengurusan UPM, lembaga pengarah universiti pula memantau supaya urus tadbir universiti dijalankan dan dipraktikkan dengan cara betul. Apabila tiba mesyuarat ahli lembaga pengarah dan pengurusan, saya maklumkan perlu jalankan tugas (siasatan) ini, saya rasa yang terlibat ini kemudiannya cuba dapatkan sokongan daripada beberapa persatuan dan mereka ini yang tidak tahu hujung pangkal buat pula aduan,” katanya.

Tambah Syed Razlan lagi, walaupun tidak lagi berada bersama UPM kelak, beliau tetap mahu membantu dan memastikan siasatan tersebut berterusan sehingga ke akhirnya.

“Saya ada cara untuk selesaikan perkara ini, kerja yang tidak habis kita kena habiskan lebih-lebih lagi ia baik untuk universiti. Saya ini bekas pemain ragbi, kalau main dia ikut undang-undang tetapi main sehingga wisel penamat,” katanya.

Beliau juga dalam pada itu menolak kononnya keputusan Maszlee ada kaitan dengan politik termasuk mengenai hubungannya dengan Menteri Pendidikan itu.

“Saya tiada masalah dengannya, kami satu parti. Saya masuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana nak tolong, bukan jawatan yang saya mahukan. Cuma kepakaran dan pengalaman saya dalam bidang pertanian boleh bantu rakyat.

“Saya rasa elok dan lagi berhemah dalam perkara ini boleh selesai seperti tarik rambut daripada tepung, tetapi ini hanya dengar sebelah pihak sahaja, tak betul dan tak matang. Jika menteri mahu jumpa saya esok pun, saya sanggup tapi masalahnya banyak kali saya tulis surat untuk berjumpa beliau, tak pernah dapat jawapan,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini