Syakilla tetap jadi taruhan emas - Utusan Malaysia

Syakilla tetap jadi taruhan emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Syakilla Salni Jefri Krisnan tetap dipertaruhkan sebagai antara empat prospek pingat emas skuad karate negara dalam Sukan SEA Filipina, November ini biarpun matlamat utamanya ialah layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, turut disasarkan emas pada temasya ke-30 itu ialah S. Prem Kumar dan R. Sharmendran masing-masing dalam acara kumite kategori bawah 55 dan 77 kilogram serta selebihnya daripada kata.

Namun katanya, Syakilla, jagoan kontroversi wanita yang memilih untuk berlatih dengan jurulatih Latvia, Andre Vasiljevs secara peribadi sejak Mei lalu, perlu menurunkan berat badannya kepada kategori bawah 55 kg bagi ke Sukan SEA.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dia juga diletakkan di bawah Kategori A (ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Olimpik Malaysia – MOM),” katanya selepas Jawatankuasa Pemilihan MOM di Wisma MOM semalam.

Pemenang pingat emas Sukan Asia Incheon 2014 itu yang kini berlatih di Thailand hanya kekurangan satu atau dua kilogram lagi untuk mencapai 55kg dan masih menjadi pilihan utama sekalipun Makaf ada seorang pencabarnya selaku pilihan kedua.

Kata Azmi, hanya kos bagi kategori kumite 50 dan 61kg perlu ditanggung Makaf namun ia boleh dituntut semula daripada MOM sekiranya mereka berjaya membawa pulang sebarang pingat dari Pusat Dagangan Dunia, Metro Manila nanti.

“Ketika Kejohanan Asia di Tashkent, Uzbekistan, bulan lalu, kami dapati Indonesia yang meraih tiga pingat dan Thailand mampu menyaingi kita dalam Sukan SEA. Dalam kategori wanita, Vietnam juga bagus selain Filipina yang menang sebutir pingat.

“Menjelang ke Filipina, skuad negara akan menjalani latihan bersama Iran dan menyertai satu kejohanan K1 di Chile,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini