MERSING 2 Ogos – Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan dukacita dengan tindakan bekas-bekas Jeneral yang bersara menjadi ejen menjual perkakasan tentera kepada komando dengan harga tidak masuk akal.
Sultan Johor yang juga Kolonel Komandan Grup Gerak Khas (GGK) bertitah, pasukan GGK tidak seharusnya menerima apa sahaja peralatan yang dicadangkan atau hendak dijual oleh pembekal tanpa usul periksa terlebih dahulu.
“Saya juga perhatikan ada bekas-bekas Jeneral bersara menjadi ejen menjual perkakasan tentera kepada komando dengan harga tidak masuk akal.
“Sebagai contoh, pembelian bot Rigid Riding Craft sebanyak lapan unit dicadangkan dengan kos RM5 juta seunit dan harga ini tidak munasabah,” titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam majlis Perbarisan Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-54 di Kem Iskandar di sini semalam.
Berangkat mengiringi Sultan Johor ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim berkata, selepas Baginda campur tangan dalam hal terbabit, Baginda memberikan komando bot lebih baik serta menjimatkan kerajaan.
“Jika saya tidak campur tangan dalam hal ini, siapa yang akan untung berjuta ringgit.
“Saya sedar, tindakan saya mencampuri urusan perolehan komando ini tidak disenangi oleh sesetengah pihak yang ingin mengaut keuntungan sebagai ejen atau orang tengah,” titahnya.
Sultan Johor turut bertitah menzahirkan penghargaan kepada kerajaan yang meluluskan peruntukan hampir RM180 juta untuk perolehan beberapa peralatan khas komando, payung terjun, rumah CQB dan kolam renang tempur di Kem Iskandar.
“Saya sebagai Kolonel Komandan Grup Gerak Khas (GGK) akan sentiasa memerhati serta mengambil tahu mengenai Kor Gerak Khas,” titahnya. – UTUSAN ONLINE











