KUALA LUMPUR 3 Ogos – Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) akan menyerahkan laporan audit tahun lalu berhubung ketidakpatuhan prosedur perolehan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) kepada jemaah menteri.
Ketua Setiausahanya, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, setakat ini, pihaknya telah mengambil maklum mengenai perkara itu dan akan memantau kewangan semasa.
Katanya, sebagai sebuah kementerian baharu, pihaknya akan memantau dan menambah baik program-program yang dijalankan.
“Kita telah pun ambil maklum. Sebagai kementerian yang kini bertanggungjawab untuk Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (Protege).
“Kita akan pergi ke jemaah menteri untuk ambil susulan (tindakan) daripada laporan audit tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog bersama 35 peserta Protege di Akademi Maybank, Bangi dekat sini hari ini.
Yang turut hadir pada sesi dialog itu ialah Ketua Sekretariat Protege, Nurashikin Ismail dan Pengarah Program Institut Keusahawanan Negara (Insken), Dr. Izham Naquiddin Shah Arif Shah.
Beliau mengulas mengenai sebanyak 56 perolehan membabitkan sejumlah RM27.25 juta bagi menjayakan SL1M tidak mematuhi prosedur perolehan kerajaan yang ditetapkan.
Analisis Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 mendapati sebanyak 25 atau 44.7 peratus perolehan bekalan serta perkhidmatan yang setiap satu bernilai melebihi RM100,000 tidak dibuat secara sebut harga seperti disyaratkan dalam peraturan perolehan kerajaan yang membabitkan nilai RM5.54 juta.
Laporan audit itu turut menyatakan 12 perolehan (21.4 peratus) yang setiap satunya bernilai melebihi RM500,000 tidak dibuat secara tender terbuka yang membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM11.31 juta.
Turut didedahkan ialah 19 perolehan atau 33.9 peratus daripadanya untuk perkhidmatan penyiaran pengiklanan melalui media cetak dan media elektronik bernilai RM10.40 juta tidak diperakukan kepada Pihak Berkuasa Melulus dengan sewajarnya.
Para peserta Protege merupakan peserta cohort pertama di bawah kementerian berkenaan.
Protege merupakan program latihan bagi menggantikan SL1M yang dijalankan selama empat bulan yang akan berakhir Disember ini.
Tambah Wan Suraya, pihaknya akan melaporkan sebarang aktiviti salah laku yang berlaku dalam kementerian dan agensi-agensi di bawahnya.
“Kita akan laporkan. kita sebuah kementerian baharu. Kita akan pastikan semua isu dipantau.
“Jadi, insya-Allah, kalau kita mendapat mandat yang baharu, kita akan uruskan dan menambah baik,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











