KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih skuad bawah 15 tahun (B-15) negara, P. Maniam menegaskan, para pemain tidak boleh berasa selesa selepas menundukkan Australia menjelang aksi menentang Laos pada Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di Stadium IPE Chonburi, Thailand petang ini.
Maniam memberitahu, pemain tidak boleh mengambil mudah cabaran Laos sebaliknya perlu fokus dan disiplin seperti apa yang ditunjukkan ketika bertemu Australia.
“Menjelang pertemuan dengan Laos, kami perlu bermain seperti yang dipamerkan ketika berdepan Australia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelaskan, kejayaan skuad B-15 tersebut bukan hasil segera program DNA Bola Sepak Malaysia yang dilancarkan FAM pada 9 Julai lalu.
Pencerahan serta permohonan maaf itu dilakukan ekoran kenyataan yang disiarkan di Facebook rasmi FAM selepas kejayaan skuad B-15 menewaskan Australia kelmarin.
FAM turut memberikan penghargaan kepada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) akan kejayaan yang dipamerkan skuad B-15 negara.











