KUALA LUMPUR 26 Ogos – Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini susulan kemerosotan di Wall Street berikutan perang perdagangan AS-China yang meningkat.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI susut 15.14 mata kepada 1,594.19 selepas dibuka rendah 11.05 mata kepada 1,598.28 berbanding 1,609.33 sebelum ini.
Peniaga berkata, langkah berhati-hati terhadap hala tuju pasaran sekali lagi akan menyebabkan peserta pasaran mengambil pendekatan defensif dan ini dijangka membawa kepada aktiviti pengambilan untung yang baharu selepas peningkatan pada Jumaat lepas.
“Tekanan jualan yang baharu akan menyaksikan paras 1,600 mata sekali lagi di bawah ancaman dan jika berlaku, paras sokongan akan datang berada pada paras 1,590 manakala paras halangan, masing-masing kekal pada 1,610 dan 1,620,” katanya.
Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 338 berbanding 41, manakala 149 kaunter tidak berubah, 1,438 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung. Jumlah dagangan sebanyak 184.95 juta unit bernilai RM90.45 juta. – BERNAMA











