KUALA LUMPUR 1 Ogos – Seramai 150 peserta dijangka hadir menyertai Persidangan Antarabangsa Mengenai Pengeluaran Arnab Dalam Iklim Tropika (RPTC 2019) yang akan diadakan pada 4 hingga 6 Ogos ini.
Pengerusi RPTC 2019, Aisyaturridha Abdullah berkata, acara tiga hari itu turut dihadiri pemain-pemain industri penternakan arnab dari pelbagai negara di rantau ini.
Katanya, penganjuran yang julung kali diadakan itu juga merupakan hasil kerjasama di antara Persatuan Penternak Arnab Malaysia (Marba), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Persatuan Pengeluar Arnab Asia.
“Objektif utama program ini adalah sebagai titik permulaan dalam menyediakan platform kepada pihak kerajaan, ahli akademik, penyelidik dan pengiat industri mendapatkan pendedahan maklumat, inovasi dan teknologi terkini serta mewujudkan jaringan kerjasama demi manfaat industri penternakan arnab di Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Tambah Aisyaturridha, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dijangka hadir merasmikan persidangan berkenaan pada 5 Ogos ini.
Katanya, sebanyak 20 kertas kajian dan sesi perkongsian industri dan ucaptama akan dibentangkan sepanjang persidangan berkenaan terutama bagi membincangkan mengenai penternakan arnab di iklim tropika.
“Penternakan arnab pedaging bukanlah satu perkara baharu di dunia, namun, industri ini agak baharu di Malaysia dan negara-negara jiran dan memiliki potensi besar untuk dikembangkan.
“Mereka yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai cara yang betul untuk menternak arnab bagi tujuan komersial boleh hadir ke persidangan ini untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya,” katanya.
Menceritakan kelebihan yang terkandung dalam daging arnab, beliau berkata, daging arnab sesuai untuk yang mahu berdiet kerana kandungan kalorinya yang rendah berbanding daging lain.
“Daging arnab juga mengandungi Vitamin B12 dan Vitamin B3 yang mampu meningkatkan sistem metabolisme badan,” katanya.
Menyedari pasaran luas dalam industri ternakan arnab ini, beliau kini berusaha mempromosikan ternakan arnab dalam kalangan petani atau usahawan yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang itu.











