KUALA LUMPUR 4 Ogos – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof mengingatkan Ronnie Liu supaya tidak ‘pusing fakta’ mengenai isu peralihan kepemimpinan kerajaan daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya, tegas Mohd. Redzuan, Setiausaha DAP Selangor itu sepatutnya lebih berterima kasih dengan kepemimpinan Dr. Mahathir yang telah mencipta kejutan terbesar membawa kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum tahun lalu.
Malah, kata Mohd. Redzuan yang mesra dengan panggilan Pak Wan, kepimpinan Dr. Mahathir perlu dibantu dengan lebih kuat lagi dalam usaha PH untuk membina semula negara tanpa desakan meletak jawatan daripada orang-orang seperti Ronnie.
“Anda (Ronnie) buat kerja sajalah di Selangor, biar Tun M buat kerjanya di Pusat tanpa diganggu gugat dengan politik mengejar jawatan.
“Beberapa dasar kerajaan PH telah pun dibentuk dan ditambah baik oleh Tun M. Contohnya, dasar anti rasuah, pengasingan kuasa (separation of powers), dasar ketelusan pentadbiran, Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030, Dasar Petanian, Dasar Revolusi Industri 4.0, Dasar Luar Negara, Dasar Perolehan dan memperbaiki dasar fiskal negara dalam mengurus hutang-hutang negara dan ada dasar lain yang sedang dirangka untuk kemakmuran bersama.
“Apabila ini semua sudah dilengkapi, barulah Tun M boleh turunkan kuasa untuk pelaksanaan yang terjamin dan berkeyakinan kepada calon Perdana Menteri kelapan (PM-8),” kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.
Mohd. Redzuan mengulas kenyataan Ronnie yang mahu Dr. Mahathir bersikap seperti seorang lelaki terhormat atau gentleman dengan mematuhi janji beliau hanya menjadi Perdana Menteri sementara untuk tempoh dua tahun yang dipersetujui PH.
Ahli DAP itu mahu Dr. Mahathir tidak lagi menimbulkan keraguan termasuk seolah-olah menyebelahi Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilihat mempunyai konflik dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Selangor berkata, pengundi yang memberi kemenangan kepada PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hanya mengundi Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara, dengan Anwar kemudian mengambil alih. -UTUSAN ONLINE











