Restoran dikesan jual daging anjing untuk dimakan - Utusan Malaysia

Restoran dikesan jual daging anjing untuk dimakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 3 Ogos – Sebuah restoran di Kampung Baru, Broga dekat sini dikesan menjual daging anjing kepada pelanggannya sebagai makanan.

Sumber polis berkata, kegiatan restoran itu dikesan selepas polis melakukan pemeriksaan ke atas premis tersebut sejurus menerima aduan orang awam malam kelmarin.

Katanya, pemilik restoran yang memiliki lesen menjual makanan eksotik itu mendakwa daging anjing itu dimakan untuk mengubati penyakit asma.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemilik restoran itu mendakwa dia tidak menjual daging anjing secara terbuka kepada pelanggan sebaliknya berdasarkan tempahan.

“Daging anjing dalam bentuk sejuk beku itu diperoleh daripada pembekal di luar daerah Nilai.

“Polis sedang menyiasat pembekal daging anjing tersebut kerana pemilik restoran itu enggan mendedahkannya,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Menurut sumber, anggota polis yang melakukan pemeriksaan di restoran itu menemukan beberapa ketul daging dipercayai daging anjing di premis berkenaan.

Katanya, polis tidak boleh mengambil tindakan kerana perkara itu di bawah bidang kuasa pihak lain, namun menasihatkan pemilik restoran tidak lagi menjual daging anjing.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar ketika dihubungi berkata, laporan polis dibuat oleh pengadu di Balai Polis Mantin.

“Pengadu mendakwa dia ke restoran itu dan mendapati premis itu menyediakan daging anjing.

“Pemeriksaan telah dilakukan oleh pihak polis dan hasil siasatan akan disalurkan kepada jabatan berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Wan Mat Wan Harun ketika dihubungi menjelaskan, restoran itu memiliki lesen menjual makanan eksotik, tetapi daging anjing tidak termasuk dalam senarai dibenarkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini