Rentak pantas bantu Pahang bangkit - Utusan Malaysia

Rentak pantas bantu Pahang bangkit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 4 Ogos – Ketinggalan satu jaringan menjadi pencetus kepada pemain Pahang mengubah tempo permainan sekali gus menyaksikan skuad Tok Gajah bangkit untuk melakar kemenangan 3-1 ke atas Pulau Pinang dalam aksi Kumpulan C saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur di sini malam tadi.

Pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, sejak babak pertama permainan dia sudah mengingatkan anak buahnya supaya tidak hanya menguasai bola tetapi mencipta gerakan untuk menjaringkan gol memandangkan Pulau Pinang dilihat bermain secara bertahan dan melakukan serangan balas.

“Pada separuh masa kedua saya menasihatkan lagi, kita kena ubah tempo permainan dari rentak perlahan kepada tempo lebih cepat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita cuba buat tetapi menerima padah dengan kesilapan daripada serangan balas Pulau Pinang yang dapat menjaringkan gol pertama. Di situ baru kita bangkit,” katanya selepas perlawanan itu.

Beraksi di hadapan kira-kira 4,200 penonton, Pahang bangkit daripada ketinggalan sebelum memenangi perlawanan pertama peringkat kumpulan tersebut dengan keputusan 3-1.

Pulau Pinang memecah kebuntuan jaringan menerusi tendangan kencang pemain importnya, Julian Bottaro pada minit ke-50 sebelum penyerang sensasi Pahang, Dickson Nwakaeme menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti lapan minit kemudian.

Penyerang skuad Tok Gajah, Mohamadou

Sumareh kemudian menjaringkan gol kedua Pahang pada minit ke-66 selepas pemain naturalisasi pertama negara itu menyudahkan bola umpanan Nwakaeme.

Muslim Ahmad menambah derita pasukan pelawat apabila bola tandukannya hasil sepakan percuma pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani menerjah ke dalam gawang Pulau Pinang, enam minit sebelum masa perlawanan sebenar tamat.

Menurut Dollah, kemasukan Faisal Halim pada minit ke-63 turut membantu mengubah corak permainan Tok Gajah yang mana gerakannya dengan membuat larian dari arah belakang banyak menarik pemain Pulau Pinang untuk mengejarnya sekali gus membolehkan Pahang mencipta ruang menjaringkan gol.

Secara keseluruhan, katanya, dia berpuas hati dengan corak permainan anak buahnya dalam perlawanan itu yang sentiasa mengawal bola dengan 60 hingga 70 peratus menguasai permainan.

“Kemenangan pertama ini boleh memberi suntikan semangat kepada pemain dan saya percaya kita boleh melakukan lebih baik serta ada perkara yang harus kita perbetulkan juga.

“Selepas ini kita harus mengambil peluang mengutip enam mata apabila dua kali berturut-turut bermain di tempat sendiri dengan menentang Perak dalam perlawanan seterusnya Khamis ini,” katanya.

Dalam pada itu, pengendali Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid menyifatkan jaringan penyamaan Pahang dalam tempoh tidak sampai 10 minit selepas pasukannya mendahului menjadi saat perubahan perlawanan tersebut yang menyaksikan pemainnya mula hilang fokus.

“Kita akui Pahang pasukan yang baik di bahagian serangan. Kita cuba berdisiplin dan melakukan serangan balas yang mana ia berkesan sehingga minit ke-60 sebelum kita mula hilang fokus.

“Anak buah saya masih baharu dalam saingan Piala Malaysia yang mana pengalaman dalam perlawanan ini adalah pendedahan yang baik untuk mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini