KUALA LUMPUR 1 Ogos – Seorang rakyat Malaysia ditahan di Kalimantan Timur, Indonesia pada 16 Julai lalu kerana dipercayai menyeludup masuk dadah jenis syabu ke negara itu.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sudah dihubungi Polis Republik Indonesia (Polri) berhubung penahanan berkenaan.
“Saya mengetahui individu yang ditahan itu rakyat Malaysia dan berasal dari Tawau, Sabah.
“Namun maklumat lanjut berhubung kejadian belum diperoleh,”katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Maktab PDRM Cheras di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya kini sedang menyiasat sekiranya suspek mempunyai rangkaian dengan sindiket penyeludupan dadah di negara ini.
“Setakat ini, kita masih meneliti maklumat yang diperoleh oleh pihak Polri bagi mengenal pasti rangkaian penyeludupan dadah berkenaan. Suspek kini masih berada di Indonesia untuk siasatan lanjut,”katanya.
Terdahulu, media Indonesia melaporkan seorang rakyat Malaysia antara lima individu yang ditahan di Kalimantan Timur kerana menyeludup enam kilogram (kg) dadah dipercayai jenis syabu.
Difahamkan, rakyat Malaysia berkenaan adalah dalang yang berperanan menyeludup masuk dadah ke Indonesia.
Turut dirampas ialah dadah bernilai RM264,000 yang dipercayai diseludup untuk pasaran di negara berkenaan.-UTUSAN ONLINE











