SINGAPURA: Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat mengambil bahagian dan seterusnya berjaya menamatkan sukan lasak ‘Spartan SEA Regional Series 2019’ yang berlangsung di Bukit Timah, Singapura petang semalam.
Kategori ‘Sprint’ yang diambil bahagian pada kali ini ialah sejauh 5 kilometer dan para peserta dikehendaki merentasi lebih daripada 20 halangan mencabar yang disediakan antaranya ‘Monkey Bars’, ‘Hercules Horse’, ‘Rope Climbing’, ‘Barbed Wire’, ‘Atlas Ball’ dan ‘Spear throw’.
Tuanku Hajah Lailatul Shahreen diiringi enam peserta lain dari pasukan ‘Team Spartan Perlis’ adalah di antara kira-kira 5,000 orang peserta lain mengambil bahagian yang datang daripada merata-rata termasuklah Malaysia, Thailand, Filipina, Amerika Syarikat dan negara tuan rumah sendiri, iaitu Singapura.
Untuk rekod, ini merupakan ‘Spartan Race’ kali yang keempat diambil bahagian oleh baginda sejak bulan Disember 2018 yang lalu iaitu di Iskandar Puteri, Johor Bahru (Disember 2018), Stadium Nasional
Singapura (Januari 2019), Semenyih, Selangor (Mac 2019) dan Lost World of Tambun, Ipoh, Perak (Julai 2019).











