PUTRAJAYA 1 Ogos – Pintar Foundation (Pintar) dan Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) sempena ulang tahun ke-10 penubuhannya.
MoU itu bertujuan memudahkan keseluruhan proses pelaksanaan Program Pintar bermula dari proses penilaian sekolah untuk diangkat di bawah Pintar sehingga ke tahap pelaksanaan dan pemantauan keberkesanan program itu.
Program Pintar bertujuan untuk memupuk kecemerlangan akademik dan bukan akademik dalam kalangan pelajar melalui kerjasama dengan syarikat korporat dan membantu Sekolah Angkat Pintar dalam melahirkan pelajar dan sekolah cemerlang.
Menurut Pintar Foundation, MoU itu akan menjadi penanda aras baharu kepada kedua-dua pihak dan merancakkan lagi inisiatif Perkongsian Awam-Swasta (PPP) yang digalakkan oleh kerajaan untuk terus bekerjasama dalam memastikan kemajuan anak-anak dari golongan terpinggir, miskin bandar dan luar bandar tidak terpinggir di bawa arus zaman.
MoU ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan, Datuk Sulaiman Wak dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pintar, Tan Sri Arshad Ayub.
Majlis itu disaksikan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dan Ahli Lembaga Pengarah yang juga penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Norhaliza Tarudin.
Maszlee turut melancarkan buku koleksi kisah kejayaan Pintar yang merekodkan intipati kejayaan pelaksanaan Program Pintar sehingga kini.
Usahasama antara Yayasan Pintar dan KPM yang terjalin sejak 2008 dilihat sebagai satu kesinambungan bagi membantu melengkap inisiatif penambahbaikan sistem pendidikan sedia ada yang dilaksanakan oleh kerajaan, jelasnya.
Sementara itu, Arshad dalam ucapannya berkata, sejak Program Pintar dilancarkan pada 2008, lebih 890,000 pelajar dan 18,000 guru telah mendapat manfaat daripada pelbagai program dan aktiviti yang dijalankan, membabitkan 551 sekolah angkat.
“Dalam tahun-tahun akan datang, kami berharap ahli yang sedia ada akan berusaha lebih berterusan untuk membawa pembaharuan dan perubahan di sekolah-sekolah angkat masing-masing” katanya. – UTUSAN ONLINE











