KUALA LUMPUR 1 Ogos – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak lagi stabil susulan kemelut yang berlarutan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Penganalisis Politik dan Pengamal Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, bagaimanapun persengketaan antara Presiden dan Timbalan Presiden PKR itu tidak akan menyebabkan berlakunya pembubaran Parlimen.
“Kemelut PKR sekarang pada amnya tidak begitu baik untuk kerajaan PH kerana ia memperlihatkan suasana yang tidak tenteram berikutan parti tersebut mempunyai banyak kerusi di Parlimen.
“Sebarang bentuk ketidakstabilan akan terkesan kepada PH secara keseluruhan, jadi kalau bubar Parlimen, risiko kepada PH untuk hilang beberapa kerusi tapi saya melihat situasi itu tidak akan berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, PKR Terengganu yang diketuai Pengerusinya, Azan Ismail; Ahli PKR Cabang Ipoh Barat, P. Jenapala dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR Cabang Tanjong Malim, Muhamad Alif Asyraf, masing-masing mempertikaikan status dan mendakwa Mohamed Azmin melampau dan boleh digugurkan daripada parti. – UTUSAN ONLINE











