Pemandu e-hailing disamun tiga lelaki - Utusan Malaysia

Pemandu e-hailing disamun tiga lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu e-hailing berputih mata apabila disamun sekumpulan lelaki yang bersenjata parang di tempat letak kenderaan di Persiaran Saujana, Jalan Masai Lama dekat Johor Jaya awal pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 pagi itu, mangsa berusia 25 tahun ketika itu sedang berehat di dalam keretanya.

“Mangsa didatangi tiga suspek bertopeng dan bersenjatakan parang dengan menaiki kereta. Suspek kemudiannya mengikut arahan suspek dengan menyerahkan dompet mengandungi dokumen bank dan wang tunai sebanyak RM520.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mangsa turut menyerahkan dua buah telefon bimbitnya. Suspek kemudiannya melarikan diri dan tidak mencederakan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahrulanuar Mushaddat berkata, polis kini sedang giat mengesan suspek berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tempat kejadian.

“Sehubungan dengan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini agar dapat tampil membantu siasatan polis.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana Balai Polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-221 2999 atau melalui Hotline Polis IPD Seri Alam di talian 07-386 4222,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×