KUALA LUMPUR 3 Ogos- Seorang pelajar tingkatan lima ditahan polis kerana disyaki menjadi tokan dadah dalam serbuan Ulu Ranan Kanowit, Sibu, Sarawak semalam.
Portal Utusan Borneo melaporkan, dalam serbuan kira-kira pukul 8 malam itu, lelaki berusia 17 tahun itu dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Kanowit, Deputi Superintenden Tega Bilong berkata, hasil pemeriksaan telah menemukan tiga plastik lutsinar mengandungi syabu seberat 1.06 gram.
“Suspek mengaku barang tersebut adalah miliknya untuk dijual secara kecil- kecilan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah atau dadah lampau,” lapor Utusan Borneo hari ini.
Tega berkata,suspek juga dipercayai memperoleh bekalan dadah daripada seorang pengedar lain dari Sibu.
Katanya, suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan akan diarah menjalani saringan ujian air kencing.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(1) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 15(1) akta sama,” katanya.- UTUSAN ONLINE











