KUALA LUMPUR 3 Ogos- Sebuah lori satu tan membawa muatan minyak diesel terbakar dalam kejadian di Kilometer 23.5 Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) berhampiran Sungai Buloh dekat sini menghala ibu negara hari ini.
Bagaimanapun, dalam kejadian pada pukul 11.15 pagi itu, pemandu lori berkenaan disahkan selamat namun tidak dapat dikesan.
Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor Nur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.21 pagi dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik sahaja tiba, kita mendapati sebuah lori membawa minyak diesel telah terbakar sebanyak 90 peratus.
“Bagaimanapun, kuantiti tong tidak dapat dipastikan dan operasi memadam kebakaran sedang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Difahamkan, kebakaran itu telah menyebabkan kesesakan lalu lintas menghala ke arah Jalan Duta di sini.- UTUSAN ONLINE











