Nazeera sinonim watak wanita teraniaya - Utusan Malaysia

Nazeera sinonim watak wanita teraniaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ENAM tahun mencanai bakat dalam dunia lakonan, aktres Nazeera Sardi begitu sinonim dengan watak-watak wanita teraniaya dan naif.

Meskipun sering diberi tanggungjawab menggalas karakter sedemikian, pelakon berusia 33 tahun ini sentiasa sematkan dalam fikirannya bahawa dia mampu membawa peranan tersebut.

Tidak terlalu memilih mencari kelainan dalam karier seni, Nazeera atau nama penuhnya Siti Nazirah Sardi tetap bersyukur tawaran lakonan datang bersilih ganti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tak kisah kalau pengarah atau produksi sering tawarkan watak perempuan teraniaya kepada saya.

“Pada saya, jika orang bagi kepercayaan untuk saya galas sesuatu watak, itu bermakna mereka tahu saya mampu lakukannya.

“Selagi watak tersebut sesuai dengan karakter dan tiada apa yang menjadi halangan, saya tak pernah rasa bosan untuk menjiwai watak air mata, wanita teraniaya dan ditindas,” katanya.

Pun begitu, Nazeera tetap ada menerima tawaran membawakan watak antagonis meskipun tidaklah ‘selebat’ mana seperti drama terbaharunya iaitu Skrin Sentuh Hati Eryna yang sedang ditayangkan di TV1.

“Watak Eryna yang saya lakonkan itu agak istimewa kerana pada awal episod, karakternya lebih kepada kehidupan sosial remaja dan ada sisi antagonisnya.

“Walaupun pada pertengahan cerita ini Eryna berubah kepada wanita yang lebih baik dan lembut, sekurang-kurangnya saya diberi peluang untuk menonjolkan sisi berbeza.

“Cerita ini agak menarik sebab ia mengisahkan kehidupan normal seseorang yang pada awalnya gemar bersosial dan mendapat hidayah untuk mengubah cara hidup,” kongsinya.

Drama arahan Zek Zukry hasil terbitan Bright Networks Sdn.Bhd. itu mula bersiaran 27 Julai lalu pada pukul 7 malam menerusi slot Widuri.

Selain Nazeera, drama itu turut menampilkan barisan pelakon antaranya Faralyna Idris, Jasmin Hamid, Naufal Hatta, Kuza dan Safwan Idris.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini