BRNO, Republik Czech – Pendatang baharu berusia 20 tahun, Fabio Quartararo bukan nama besar dalam perlumbaan MotoGP dunia tetapi berjaya mencuri tumpuan apabila mencatat masa terpantas pada sesi latihan awal hari ini menjelang Grand Prix Czech pada Ahad.
Pelumba muda dari Perancis itu juga turut mengejutkan juara dunia, Marc Marquez dari pasukan Honda yang hanya mampu mencatat masa kedua terpantas diikuti pelumba Ducati, Jack Miller, ketiga terpantas.
Quartararo yang menunggang jentera Yamaha dan sudah pulih sepenuhnya daripada pembedahan lengan yang dilakukan di awal musim mencatat masa 1min:55.802 saat satu pusingan untuk memintas catatan Marquez yang tercicir 0.023s di belakangnya.
“Saya sudah hampir mencapai 100% kecergasan dan tidak menghadapi masalah lagi dengan lengan. Tiada kesakitan lagi dirasai yang membolehkan saya mencatat masa yang baik hasil kombinasi dua sesi latihan setakat ini di sini.
“Matlamat utama pada sesi kelayakan nanti ialah untuk berada di petak depan dalam perlumbaan sebenar nanti memandangkan litar di sini sukar untuk memotong,” katanya yang akan turun sekali lagi untuk sesi latihan ketiga.
Sebelum terpaksa menjalani pembedahan, Quartararo juga pernah mencuri tumpuan apabila berjaya tiga kali meraih petak depan dan dua kali menaiki podium pada musim pertamanya dalam kelas MotoGP tahun ini. – AFP











