MIDA konsisten bantu PKS laksana Industri 4.0 - Utusan Malaysia

MIDA konsisten bantu PKS laksana Industri 4.0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memahami kesukaran yang dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk melaksanakan Industri 4.0 yang berdepan dengan tempoh ekonomi mencabar.

MIDA bekerjasama dengan PKS untuk membantu mereka meningkatkan penggunaan teknologi mereka ke arah menjadi juara serantau atau global.

Industri 4.0 pada dasarnya merujuk kepada trend ke arah automasi dan pertukaran data dalam teknologi pembuatan dan proses termasuk internet untuk segala-galanya (IoT), pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan.

Pengarah Eksekutif Penggalakan Pelaburan MIDA, S. R. Sivasuriyamoorthy berkata, selain agensi kerajaan, PKS yang merangkumi 98.5 peratus daripada perniagaan negara juga boleh bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan IT, penyepadu sistem dan sektor swasta.

“Kami mengakui bahawa pada masa ini kebanyakan PKS sama ada di peringkat Industri 2.0, 2.5 atau 3.0, kami boleh membantu dengan menggalakkan mereka melaksanakan Dasar Kebangsaan mengenai Penilaian Kesediaan Industri 4.0 atau (Industry4WRD-RA),” katanya kepada pemberita pada seminar di sini hari ini.

Penilaian itu yang dilancarkan pada Oktober tahun lepas bertujuan memacu transformasi digital sektor pembuatan dan perkhidmatan yang berkaitan di negara ini. Sebanyak RM210 juta diperuntukkan untuk menyokong program penilaian ini bagi tempoh antara 2019 dan 2021.

Tambah beliau, kerajaan menyasarkan untuk menilai 500 syarikat pada tahun ini dan 500 lagi tahun depan.

“Kami mahu PKS melihat luar Malaysia dan dengan adanya platform digital, pasaran menjadi tanpa sempadan. Pasaran ASEAN sahaja terdiri daripada asas penduduk sebanyak 650 juta orang,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×