KUALA LUMPUR 1 Ogos – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menggesa syarikat pembuatan menggunakan insentif Elaun Modal Automasi (CA) yang bertujuan meningkatkan kecekapan dan produktiviti industri tempatan.
Pengarah Eksekutif Kanan Perancangan Strategik dan Pembangunannya, Ahmad Khairuddin Abdul Rahim berkata, insentif itu, yang diperkenalkan dalam Bajet 2015, bukan sahaja menggalakkan syarikat pembuatan terlibat dalam aktiviti inovatif dan produktif tetapi juga menerajui dalam menerima pakai automasi dengan segera.
“Kami mahu lebih banyak syarikat, terutama pengeluar dalam industri yang berteraskan buruh, tampil untuk membincangkan pelaksanaan automasi mereka dengan MIDA.
“Kami mahu membantu peserta tempatan khususnya, untuk membangunkan kelebihan daya saing yang mapan yang membezakan mereka daripada pesaing,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Setakat ini, katanya, MIDA telah meluluskan sebanyak 187 permohonan bagi insentif CA daripada pengeluar dalam pelbagai industri, termasuk mereka yang mengeluarkan produk buatan logam, plastik, tekstil dan produk tekstil serta kayu dan produk kayu.
Beliau berkata, syarikat tersebut telah melabur sebanyak RM359 juta dalam jentera dan peralatan automasi yang membawa kepada pengurangan sebanyak 1,344 pekerja tidak mahir dan purata peningkatan jumlah pengeluaran sebanyak 162 peratus.
Ahmad Khairuddin berkata, syarikat yang diluluskan CA juga mencatatkan purata pengurangan kadar kecacatan sebanyak 57 peratus dan purata pengurangan jam kerja sebanyak 53.6 peratus.
Mengenai masa depan, MIDA menyasarkan untuk meluluskan 400 syarikat bagi CA pada tahun depan, katanya,
“Kami menyasarkan untuk mencapai 300 kelulusan pada akhir tahun ini dan 100 lagi kelulusan pada tahun depan,” katanya.
Ahmad Khairuddin berkata, MIDA turut merancang untuk memohon kepada Kementerian Kewangan untuk melanjutkan insentif tersebut dari tarikh tamatnya pada 2020.
“Kami berpendapat ia merupakan insentif yang baik kepada syarikat Malaysia kerana berdasarkan keputusan syarikat yang diluluskan CA pada masa ini, terdapat banyak peningkatan dari segi produktiviti, pelaburan dan eksport,” katanya.
CA terbahagi kepada dua kategori, iaitu industri berteraskan buruh seperti produk getah, plastik, kayu, perabot dan tekstil, serta industri lain yang termasuk produk buatan logam, produk elektronik dan elektrik, pembuatan makanan dan peralatan pengangkutan.
Bagi industri berteraskan buruh, kerajaan memberikan CA automasi sebanyak 200 peratus ke atas perbelanjaan RM4 juta pertama yang ditanggung dalam tempoh lima tahun taksiran dari 2015 hingga 2020.
Bagi industri lain, CA automasi sebanyak 200 peratus ke atas perbelanjaan RM2 juta pertama yang ditanggung diberikan dalam tempoh lima tahun taksiran dari 2015 hingga 2020. – BERNAMA











