KUALA TERENGGANU 28 Ogos – Manis FM, stesen penyiaran anak syarikat kerajaan negeri mengedarkan kira-kira 100 Jalur Gemilang kepada pengguna jalan raya di jambatan angkat (drawbridge) di sini, semalam.
Program yang julung kali diadakan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu bertujuan menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan rakyat negeri ini sekali gus memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan.
Penyampainya, Shazwani Shakeri atau lebih dikenali sebagai Shaz berkata, idea untuk mengedarkan Jalur Gemilang itu dicetuskan kalangan pendengar radio berkenaan apabila rata-ratanya berkongsi kisah dan pengalaman masing-masing yang masih tidak berkesempatan membeli bendera.
Katanya, acara yang bermula pukul 5 hingga 5.30 petang itu turut disertai dua penyampai lain iaitu Nura dan Kai.
“Rata-rata pengguna jalan raya teruja mendapat bendera hingga ada yang meminta lebih.
“Semoga usaha kecil kami ini dapat membantu masyarakat bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang pada kenderaan masing-masing sepanjang Bulan Kebangsaan,” katanya yang mengendalikan segmen Manis-Manis Pagi pada setiap hari Ahad hingga Khamis dari pukul 6 hingga 10 pagi.
Shaz memberitahu, inisiatif itu mungkin akan dijadikan acara tradisi tahunan Manis FM berikutan sambutan positif yang diterima.
Menurutnya, Manis FM menyediakan pelbagai pengisian lain sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan antaranya perkongsian dengan individu-individu yang telah mengharumkan nama Malaysia di samping mengundang pasukan keselamatan negera, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Di samping itu, katanya, para penyampai radio turut berpeluang mengikuti latihan fizikal bersama ATM di kem Seberang Takir di Kuala Nerus yang sekali gus bagi memberi pengalaman baharu kepada mereka mengenai kesukaran tugas dan pengorbanan anggota perajurit negara.
Manis FM bersiaran di frekuensi 102.0 FM di Terengganu manakala di Kelantan (90.6 FM), Pahang Timur (95.1 FM) dan Pahang Tengah (103.8 FM). – UTUSAN ONLINE











