PETALING JAYA: Kesediaan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan dipertikai kerana masih meneruskan tanggungjawab sebagai Menteri termasuklah lawatan rasmi ke China.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari dalam tulisannya di Facebook dengan tajuk ‘Anthony Loke betul-betul mahu berhenti atau main drama’, berkata, walaupun dari sudut undang-undang ia tidak menjadi kesalahan namun dari sudut tatakelolanya ia mengundang persoalan.
Katanya, apabila seorang menteri sudah mengumumkan mahu berundur atas dasar prinsip, sewajarnya tindakannya selepas itu turut menggambarkan bahawa beliau sedang menuju pintu keluar.
“Urusan rutin dan perkara mendesak tentulah perlu diteruskan, tetapi keputusan atau komitmen baharu yang mempunyai kesan selepas beliau berundur sepatutnya dibuat dengan lebih berhati hati. Kalau tidak mendesak, apa salahnya diserahkan kepada pengganti?
“Memang Loke belum menjadi ‘caretaker minister’ dalam pengertian undang undang. Tetapi dari sudut tatakelola, semangatnya patut hampir sama, iaitu lebih berhati hati menggunakan kuasa selepas mengumumkan mahu berundur.
“Lagi besar sesuatu keputusan atau komitmen, lagi tinggi tahap berhati hati yang sepatutnya diamalkan,” katanya hari ini.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, ia kelihatan pelik apabila seseorang telah mengumumkan hendak berhenti tetapi jadualnya di jawatan tersebut berjalan seperti biasa.
“Mesyuarat jalan, pertemuan dua hala jalan, MoU (Perjanjian Persefahaman) pun jalan. Kemudian selepas selesai semuanya, barulah hendak menguruskan soal peletakan jawatan. Jadi bila sebenarnya proses ‘berhenti’ itu bermula?,” katanya.
Justeru, Ahmad Fadhli menasihatkan supaya isu peletakan jawatan dibuat secara berprinsip iaitu dengan menyerahkan urusan besar kepada pengganti dan memastikan peralihan berjalan teratur.
“Jangan pengumuman politik sudah sampai ke pintu keluar, tetapi kuasa menteri masih sibuk berjalan ke sana sini. Kalau begitu, rakyat memang susah hendak membezakan antara peletakan jawatan dengan sekadar pengumuman peletakan jawatan.
“Cuma kalau sudah hendak keluar rumah, pelik juga kalau sempat tambah perabot baharu sebelum serahkan kunci,” katanya.-UTUSAN











