KUANTAN 21 Ogos – Lima ekor gajah diselamatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri selepas ditemukan terjatuh di bekas kawasan lombong di Runchang, Pekan dekat sini semalam.
Pengarah Perhilitan negeri, Rozaidan Md. Yasin berkata, pihaknya menerima aduan pada pukul 12 tengah hari semalam terdapat empat gajah dewasa dan seekor anak gajah terperangkap.
“Selepas menerima maklumat itu, anggota ke lokasi dan mendapati gajah-gajah berkenaan tidak dapat keluar dipercayai kerana kawasan lombong yang berlumpur.
“Anggota kami meminta bantuan syarikat perlombongan berhampiran menggunakan excavator mereka untuk mengorek dan membuat laluan keluar gajah berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rakaman video operasi menyelamatkan gajah itu yang berdurasi tiga minit 43 saat turut dimuat naik di laman Facebook Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia.
Rozaidan berkata, kesemua gajah itu berjaya dikeluarkan pukul 6 petang dan didapati berada dalam keadaan baik. – UTUSAN ONLINE











