JAKARTA 2 Ogos – Sebuah kapal nelayan membawa 37 orang penumpang dilaporkan karam di perairan Matasiri, Kalimantan Selatan dekat sini, baru-baru ini.
Insiden melibatkan kapal KM Pieces itu bagaimanapun baru diketahui hari ini, tiga hari selepas kejadian tersebut berlaku.
Lapor Kompas, petugas Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Banjarmasin, Endrow berkata, alat isyarat kecemasan kapal itu dipercayai rosak, mengakibatkan insiden terbabit gagal dikesan pihaknya.
“Basarnas tidak mengesan isyarat bahaya dari kapal berkenaan. Alat kecemasan kapal itu berkemungkinan rosak,” katanya.
Menurut Endrow, seramai empat penumpang ditemukan maut, dua dijumpai selamat manakala 31 yang lain masih hilang.
Kapal malang itu dilaporkan belayar dari Pekalongan ke Selat Makassar untuk menangkap ikan.
“Empat mangsa yang terkorban dan dua penumpang yang selamat ditemukan oleh kapal yang belayar di kawasan perairan tersebut,” ujarnya.
Tambah Endrow, misi mencari dan menyelamat diteruskan Basarnas dengan kerjasama tentera dan penguatkuasa pelabuhan.– AGENSI











