SANDAKAN 3 Ogos- Komuniti terutama yang berhubung dengan maritim seperti nelayan di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone) tidak sepatutnya memandang ringan perintah berkurung manakala operator dengan Permit Pengecualian Perintah Berkurung pula hendaklah tegas dalam mematuhi syarat yang ditetapkan di samping mengambil sikap lebih berjaga-jaga apabila berada di laut.
Pengarah Pusat Memerintah Maritim (MCC) Kapten Pulendren Paramasivam berkata, ini kerana angkatan keselamatan tidak menafikan bahawa penculik kemungkinan sudah berada dalam wilayah Malaysia hanya ‘menunggu mangsa’ sahaja.
“Pada ketika anda berada di sana (laut), anda terdedah menjadi mangsa yang hanya menunggu untuk diculik dan terdapat ramai pengintip yang akan memberitahu penculik di mana perlu pergi. Mereka perlu ada orang dalam.
“Kami yakin ada tali barut di (Malaysia) dan polis sedang memburu mereka dan telah menangkap sesetengah daripada mereka,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini.
Dalam pada itu, Pulendren berkata, perintah berkurung antara pukul 6 petang hingga 6 pagi di kawasan Esszone yang merangkumi perairan berdekatan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran kini dalam fasa ke-118 sehingga 9 Ogos sebelum diperbaharui dua minggu lagi, sekiranya tiada keputusan untuk menghentikan perintah berkurung itu.
Jelasnya, perintah berkurung tidak sepatutnya dihentikan namun bersimpati dengan komuniti nelayan yang bergantung hidup dengan pendapatan dari hasil laut.
“Isu keselamatan melanda Sabah terutama di pantai timur, berikutan negeri ini terdedah kepada laut yang luas dari Kudat di utara hingga ke Tawau di selatan membabitkan 1,733 kilometer dengan 151 pulau.
“Tetapi dengan keberadaan kita (pasukan keselamatan), para penculik akan berfikir dua kali kerana peluang mereka berdepan dengan pasukan keselamatan atau lebih buruk lagi, ditembak bagi mempertahankan diri (sekiranya diserang penculik),” tambahnya.
Pulendren juga menyatakan bahawa Malaysia mengadakan kerjasama dengan pasukan keselamatan dari negara jiran seperti Filipina serta Indonesia dengan meronda setiap hari di bawah inisiatif Perjanjian Kerjasama Tiga Hala (TCA).-BERNAMA











