KUALA LUMPUR – Sehingga, hari ini, masih terdapat pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) yang belum melunaskan tunggakan gaji dan jumlah itu mencecah angka RM6.4 juta, berdasarkan laporan yang diterima oleh Persatuan Pemain Profesional Bola Sepak Malaysia (PFAM).
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail berkata, jumlah itu tidak termasuk tunggakan potongan cukai, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan jumlah itu dijangka terus meningkat memandangkan masih ada aduan yang sedang diproses untuk di bawa ke Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Beliau melahirkan rasa kecewa kerana sebelum ini beberapa pasukan termasuk Pahang, Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan menggunakan alasan menunggu wang geran hak penyiaran daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), namun, selepas diberikan, semua pasukan terlibat masih berdiam diri.
Katanya, ada juga pasukan yang sudah membuat perjanjian untuk bayaran secara berperingkat kepada pemain, namun, masih melanggar perjanjian tersebut seperti pasukan ATM, PDRM dan Felda FC.
“Selain itu, nasib pemain daripada pasukan-pasukan yang sudah ditutup terus terpinggir dan tidak terbela.
“Pemain-pemain Perlis, TCFC, Hanelang, Kuantan FA dan Marcerra United terus berada dalam keadaan tidak menentu kerana kelompongan struktur sedia ada yang tidak memberi sebarang jaminan terhadap nasib pemain ini.
“Hakikatnya, angka RM6.4 juta ini belum boleh menggambarkan jumlah hutang sebenar dalam industri bola sepak negara kerana ia hanya melibatkan kes yang dilaporkan dan PFAM percaya jumlah sebenar lebih besar jika dikira bersama tunggakan gaji kakitangan kejurulatihan, pemain import dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Izham berkata, jumlah RM6.4 juta itu adalah simbol kegagalan urus tadbir profesional dalam kalangan pasukan Malaysia dan bukti industri bola sepak negara semakin tenat serta sukar untuk bergerak secara holistik.
Katanya, PFAM sangat kecewa dengan pihak yang bersikap lepas tangan, selain menuding jari ke arah pihak lain kerana ia menzalimi pemain yang bergantung hidup kepada industri itu.
“Percayalah, negara tidak mampu bergerak ke arah pelan F:30 atau NEX50 sekiranya kita semua masih terperangkap dalam kerangka hutang RM6.4 juta ini.
“Sebagai langkah terakhir, PFAM menyeru kerajaan negeri untuk tampil memberi bantuan menyelesaikan perkara ini, lihatlah perkara ini sebagai isu rakyat kerana mereka sangat memerlukan bantuan. Kepada pasukan yang masih berhutang, tidak kira siapa juga yang memulakannya, sila ambil tanggungjawab dan jangan melengahkan bayaran kepada pemain terlibat,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE











