KUALA LUMPUR 4 Ogos – Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) mahu supaya orang ramai menghindar penggunaan plastik sekali guna kerana ia membawa kesan buruk kepada persekitaran.
Timbalan Menterinya, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, inisiatif Kempen Hindari Plastik Sekali Guna diperkenalkan bertujuan menghentikan penggunaan plastik jenis itu yang mengambil masa antara 400 hingga 1,000 tahun untuk terurai dan mencemar alam sekitar.
“Misalnya, beg plastik yang dibuang merata-rata boleh menyekat aliran air longkang atau sungai dan membawa kepada masalah lain seperti bencana banjir.
“Aliran air yang tersekat juga boleh menjadi kawasan pembiakan nyamuk dan haiwan perosak lain, ‘’ ujarnya.
Beliau menyatakan demikian semasa berucap Majlis Perasmian Minggu Sains Negara (MSN) 2019 Peringkat Negeri Kedah di Sungai Petani hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir
Mengulas lanjut beliau berkata, keadaan yang kotor menjejaskan kebersihan dan boleh mengundang pelbagai penyakit.
Beg plastik katanya, yang dibuang merata-rata akhirnya akan terkumpul di lautan dan membunuh hidupan.
“Anda pasti pernah melihat perut ikan paus yang dipenuhi bahan plastik dan telah menonton video yang menunjukkan usaha mengeluarkan penyedut minuman plastik daripada hidung seekor penyu,‘‘ ujarnya lagi.
Menurutnya, di seluruh dunia termasuk Malaysia, usaha-usaha untuk menghentikan penggunaan plastik sekali guna giat dilaksanakan.
Isnaraissah Munirah berkata, kajian yang dijalankan oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (UNEP) dan Institut Penyelidikan Sedunia (WRI) menunjukkan sehingga Julai tahun lalu, sebanyak 127 daripada 192 negara telah melaksanakan beberapa dasar untuk mengawal penggunaan plastik.
Katanya lagi, antara dasar yang telah dilaksanakan adalah cukai terhadap pengeluaran beg plastik, mengenakan bayaran kepada pengguna yang ingin menggunakan plastik, undang-undang atau peraturan untuk mengharamkan atau mengehadkan penggunaan sekali guna bahan-bahan plastik seperti penyedut minuman, sudu, garfu serta pinggan.
`Untuk tujuan itu kata beliau, MESTECC mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi menggalakkan sekolah di negara ini menggunakan produk biodegradasi (mudah urai) bagi menggantikan penyedut minuman dan pinggan plastik.
“Saya percaya institusi pendidikan adalah tempat terbaik untuk mendidik dan menerapkan rasa cintakan alam sekitar di samping memupuk tanggungjawab sebagai pewaris pemacu negara pada masa akan datang.
MSN 2019 Peringkat Kebangsaan diadakan di Pusat Sains Negara pada 27 Mac hingga 7 April lalu dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2 April lalu.
MSN bertemaklan Sains Untuk Kesejahteraan
Fasa kedua MSN dilaksanakan pada 2 hingga 8 Ogos 2019 di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang.











