JAKARTA 3 ogos – badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) merekodkan empat kematian penduduk akibat gempa bumi di wilayah Banten malam tadi.
CNN Indonesia yang memetik Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) melaporkan, dua kematian itu berlaku di mukim Cisolok dan mukim Waluran, masing-masing akibat terjatuh dan diserang sakit jantung.
Pelaksana Harian Ketua Pusat Data BNPB, Agus Wibowo berkata, gempa itu menyebabkan lebih 1,000 orang di Banten dan Lampung mendapatkan perlindungan
“Seramai 1,050 orang penduduk meninggalkan rumah mereka, empat orang cedera manakala dua lagi meninggal dunia,” katanya, hari ini.
Gempa dengan magnitud 6.9 itu berpusat di perairan Banten pada kedalaman 4.8 kilometer, kira-kira 164 kilometer barat daya Kota Pandeglang, Banten.
Tambah Agus, kerosakan akibat gempa bumi itu pula melibatkan 200 bangunan terdiri daripada rumah, pejabat dan masjid di Banten, Lampung dan Jawa Barat.
Sementara itu, pihak berkuasa Indonesia menarik balik amaran tsunami setinggi tiga meter selepas lebih dua jam gempa berlaku.
Gempa kuat itu mengakibatkan gegarannya dirasai sehingga Yogyakarta di kepulauan Jawa mengakibatkan penduduk dan pekerja keluar daripada rumah dan bangunan dalam kejadian yang berlaku pada pukul 7.03 malam waktu tempatan. –AGENSI











