LONDON – Jurgen Klopp menggesa Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) untuk mempertimbangkan semula jadual perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas jurulatih Liverpool itu menyifatkan pemainnya boleh terbeban dan berada dalam bahaya.
Liverpool bakal menentang Manchester City dalam aksi Piala Perisai, esok sebelum bertemu Norwich di Anfield pada Jumaat ini.
Klopp tidak pasti sama ada Sadio Mane yang baharu menyertai latihan pada Isnin lalu boleh diturunkan atau sebaliknya.
Mane menjadi contoh paling tepat selepas dibebani dengan jumlah perlawanan yang banyak apabila dia sudah beraksi 111 permainan untuk kelab dan negara sejak Ogos 2017 dan kempen liganya akan berlangsung untuk 359 hari.
Berbanding rakan senegaranya, Kalidou Koulilbaly yang masih bercuti memandangkan Serie A akan memulakan saingan pada 24 Ogos ini.
Bundesliga dan La Liga pula akan bermula pada 16 Ogos ini manakala Ligue 1 diadakan pada minggu yang sama dengan EPL namun mereka diber rehat tiga minggu ketika perayaan Krismas.
Situasi itu membuatkan Klopp bimbang dengan pemain yang beraksi di liga England.
“Seseorang perlu memulakan perbincangan mengenai perkara ini.
“Saya sudah bercakap dengan Carlo Ancelotti (Ahad lalu). Itali mempunyai 20 pasukan dan Serie A bermula pada 24 Ogos. Koulibaly yang turut beraksi bersama Sadio di Piala Negara-Negara Afrika bercuti selama sebulan.
“Mereka juga ada 20 pasukan. Jadi, saya tidak tahu kenapa kita bermula terlalu awal. Tahun depan kita ada Kejohanan Eropah (Euro) dan Copa America dan kita bermula pada minggu yang sama di England?
“Saya tidak tahu kenapa. EPL produk yang sungguh menakjubkan dan semua orang menontonnya.
“Kami tidak perlu dua minggu di mana tiada sesiapa pun di dunia bermain bola melainkan EPL. Ini tidak masuk akal. Saya cintakan bola sepak namun seseorang perlu memikirkan tentang kebajikan pemain namun tiada sesiapa melakukannya.
“Saya memulakan perbincangan dan orang berkata saya hanya mencari alasan. Tidak, namun kita perlu fikir tentang perkara ini terutamanya di England,” kata Klopp. – AGENSI.











