KUALA LUMPUR 1 Ogos – Empat pemuda ditahan apabila disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di Kampung Senau, Oya dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintenden Roslan Leman berkata, anggota dari Balai Polis Oya mendapati suspek-suspek berusia antara 22 hingga 27 tahun berada dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan suspek di tepi jalan kira-kira pukul 10.50 malam.
“Hasil soal siasat mendapati kesemua remaja terbabit dipercayai berada dalam keadaan khayal,” katanya seperti dipetik daripada portal Utusan Borneo hari ini.
Katanya, semua remaja tersebut dibawa balik ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Roslan berkata, saringan ujian air kencing mendapati kesemua mereka didapati positif dadah jenis ganja.
“Empat lelaki terbabit direman empat hari bermula 31 Julai dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya – UTUSAN ONLINE











