KUALA LUMPUR 2 Ogos – Bekas Ketua Pengarah Jabatan Arkib Negara pertama dan wanita tempatan pertama yang menerima anugerah Ramon Magasay, Datuk Zakiah Hanum Abdul Aziz meninggal dunia awal pagi tadi di Hospital Pantai.
Menurut anak beliau, Farha Mohd. Nor, Allahyarham yang akan mencecah usia 82 tahun pada bulan depan meninggal dunia kira-kira pukul 12.30 pagi tadi.
“Jenazah ibu saya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara selepas solat Jumaat hari ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Menurut Farha, Allahyarham mempunyai dua anak lelaki, seorang anak perempuan dan tujuh cucu hasil perkahwinan dengan Datuk Mohd. Nor Ismail.
Allahyarham merupakan wanita pertama yang berjaya menjadi Ketua Pengarah dalam jabatan kerajaan dan banyak memberi sumbangan kepada negara khususnya dalam memartabatkan budaya Melayu.
Allahyarham juga merupakan individu yang memberi ilham untuk membina Memorial Tun Abdul Razak, Memorial Tunku Abdul Rahman, Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Melaka dan Pustaka Peringatan P. Ramlee sebagai satu daripada usaha untuk mengingati, mendokumentasikan serta mempamerkan kepada umum sumbangan tokoh negara. – UTUSAN ONLINE











